Ahad, 2 April 2017

MTUC bantah MoT laksana RNAA, dakwa bakal gugat KTMB

MALAYSIA GAZETTE
MTUC

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa Kementerian Pengangkutan (MoT) agar mengkaji semula rancangan Railway Network Access Agreement (RNAA) kerana pelaksanaannya akan menggugat kepentingan pekerja-pekerja KTM Berhad (KTMB).

Selain itu, MTUC menegaskan, pelaksanaan RNAA bukan saja akan mengenepikan kepentingan “perhidmatan sosial awam” malah hanya menguntungkan sebelah pihak.

Setiausaha Agung MTUC, J Solomon berkata, pihaknya mendapati tindakan MoT itu hanya akan memusnahkan organisasi KTMB dengan mempaparkan imej buruk khususnya membawa kepada perpecahan perpaduan yang sedia terjalin antara Kesatuan Pekerja-Pekerja KTMB dengan Kementerian Pengangkutan.

Kata beliau, MTUC mendapati Kesatuan Pekerja-Pekerja KTMB telah berkali-kali menyuarakan untuk mengadakan temu janji dengan Menteri Pengangkutan, tetapi tiada respons  langsung ke atas permintaan itu.

“MTUC mendapati alternatif terbaik untuk mentadbir KTMB adalah kerajaan. Ini kerana pengangkutan rel KTMB telah diakui sendiri oleh kerajaan sebagai perhidmatan sosial kepada rakyat dan negara.

“MTUC juga sangsi dan teramat hairan apakah matlamat sebenar RNAA, cuba mengambil alih aset-aset syarikat KTMB,” kata beliau.

Kata Solomon, MTUC mengambil pendirian akan bersama dengan kesatuan itu yang membantah dengan keras pelaksanaan RNAA dalam mengendalikan urus tadbir syarikat KTMB.

Awal minggu ini, Kementerian Pengangkutan memberi jaminan bahawa masa hadapan pekerja KTMB yang bakal terlibat dengan RNAA tidak akan terjejas.

Timbalan Menterinya, Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata RNAA adalah projek usaha sama KTMB dengan Railway Assets Corporation (RAC) dimana akan menyaksikan penyerapan terus pekerja ke dalam anak syarikat milik KTMB.

Justeru, jelasnya, tiada seorang pun yang akan kehilangan pekerjaan pada masa hadapan.

RAC adalah badan berkanun persekutuan manakala KTMB adalah syarikat milik penuh kerajaan.

Menurutnya, Perjanjian RNAA adalah selari dengan klausa 89 Akta Keretapi 1991 untuk mengasingkan antara pengendali perkhidmatan keretapi yang mana diuruskan oleh KTMB, dan pemilikan, pengurusan dan penyelenggaraan segala aset-aset keretapi bakal diuruskan oleh RAC. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: