Isnin, 10 April 2017

Lim Kit Siang tiada cita-cita jadi Perdana Menteri?

Oleh Zainal Salleh
Post Pic
[BAHAGIAN SATU]
[ULASAN] Baguslah jika Penasihat DAP, Lim Kit Siang benar tiada cita-cita menjadi Perdana Menteri Malaysia kerana kemungkinan itu amat menakutkan umat Melayu hegemoni politik mereka akan hilang.
Umumnya umat Melayu amat gusar jika wakil DAP, tidak Kit Siang atau siapa sahaja, dari parti itu dinobatkan menjadi Perdana Menteri maruah mereka tercabar malah ia dianggap satu penjajahan.
Seraya itu Kit siang menafikan beliau ada pakatan sulit dengan mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad untuk meletakkan anaknya, Mukhriz, menjadi Perdana Menteri jika pakatan pembangkang pilihanraya umum ke 14 (PRU 14).
Justeru soal Kit Siang ditabal Timbalan Perdana Menteri langsung tidak timbul. Maksudnya, beliau  tidak terfikir berkonspirasi dengan Mahathir untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri. 
Baguslah begitu. Orang Melayu pasti tidak akan curiga dengan azam  Kit Siang mahu digelar patriot kerana mahu selamatkan Malaysia daripada rasuah, salah urus negara dan kleptokrasi. 
Bagaimanapun prasangka terhadap Kit Siang sukar padam. Ini kerana senario politik sekarang bolehlah dianggap bak “jauh panggang dari api” bagi Kit Siang menjadi Perdana Menteri mahupun timbalannya.
Kebarangkalian Kit Siang mahu jadi PM, masih ada
Bagaimanapun jika ditakdirkan pembangkang menang PRU14 dan DAP merebut kerusi paling banyak di parlimen berbanding parti pembangkang lain dan ahli-ahli DAP mendesak beliau diangkat ke jawatan itu, mungkin sukar Kit Siang menolak.
Apatah lagi jika parti-parti seperti PKR, Amanah dan PPBM sendiri mencadangkan Kit Siang menjadi Perdana Menteri kerana tidak mahu pakatan pembangkang pecah jika nisbah kerusi DAP jauh lebih besar berbanding PKR, Amanah dan PPBM!
Kebarangkalian itu tetap ada kerana senafas pengakuan beliau tiada cita-cita menjadi Perdana Menteri, Kit Siang ada menegaskan bahawa Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan mana-mana warganegara boleh menduduki kerusi itu. 
Selain itu besar kemungkinan jika diuja oleh pujukan pengikutnya dan parti-parti pembangkang Melayu, tidak sukar DAP memukau kerabat pembangkang hingga hilang jatidiri Melayu-Islam mereka.
Rakyat bimbang sikap bacul pemimpin Melayu pembangkang
Kisah pemimpin pembangkang Melayu tidak alergik dengan kemungkinan DAP memimpin Negara bukan baru. 
Ramai warga Melayu-Islam merekodkan kebimbangan mereka bersandar sikap “bacul” PKR, Amanah dan PPBM mendepani serangan liar terhadap Melayu dan Islam.
Banyak contohnya boleh dikutip dalam media massa seperti berikut: 
Pertama, Nga Kor Ming menghina umat Islam dengan menyamakan pemberian duit raya dengan rasuah atau dedak. Mereka diam.
Kedua, Jeff Ooi menghina kematian ulama tersohor Tuan Guru Harun Din dengan ‘Adios Harun Din’. Mereka tak terasa apa-apa.
Ketiga, Nga Kor Ming menyindir pakaian purdah sebahagian wanita Islam.  Apabila Datuk Ahmad Darus mencadangkan pramugari memakai pakaian yang menutup aurat, pemimpn DAP kata pemimpin Melayu otak cacat. Pun mereka diam.
Keempat, Pemimpin DAP, P Ramasamy menggelar pendakwah terkenal antarabangsa Dr Zakir Naik sebagai ‘setan’. Mereka diam.
Kelima, DAP pertikai kandungan khutbah Jumaat dan mengganggu urusan fatwa. Mereka diam juga.
Keenam, DAP mempersoalkan laungan azan dan bacaan ayat al-Quran melalui pembesar suara. Mereka bak “lembu kenyang”.
Ketujuh, DAP mempersoalkan larangan murtad dan mempertikaikan  kewujudan JAKIM. Semua parti pembangkang Islam diam.
Kelapan, DAP menghina dan mempersenda hudud. Mereka diam.
Kesembilan, DAP separuh mati menentang RUU355. Mereka kata RUU355 belum perlu. 
Kesepuluh, DAP menentang ustaz-ustazah dari Semenanjung dihantar ke Sarawak. Pun mereka membisu.
Ini belum mengambil kira banyak isu lain yang lebih penting dalam agama Islam. Antaranya isu kalimah Allah hendak digunakan dalam Bible dan “memudahkan” proses murtad.

Tiada ulasan: