Isnin, 10 April 2017

Lahad Datu: Bicara kes saman Anwar terhadap TV3 pada 10 Julai

 Bernama

Dalam pernyataan tuntutannya, bekas anggota Parlimen Permatang Pauh itu mendakwa TV3, antara pukul 8 dan 9 malam, hari yang sama dalam Buletin Utama turut menyiarkan berita mengenai pencerobohan di Lahad Datu berdasarkan laporan berita yang dikeluarkan oleh Utusan Melayu

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan empat hari bermula 10 Julai untuk perbicaraan kes saman bekas Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim terhadap TV3 berhubung isu pencerobohan di Lahad Datu, Sabah.

Perkara itu dimaklumkan peguam Lim Qi Shi kepada pemberita selepas pengurusan kes di dalam kamar Pesuruhjaya Kehakiman Rohani Ismail yang turut dihadiri peguam Shahid Adli Kamarudin, mewakili Anwar.

Lim mewakili TV3 dan dua defendan lain iaitu Pengarang Urusan Kumpulan, Berita dan Ehwal Semasa, Rangkaian Televisyen dan Radio, Media Prima Bhd Shaharudin Abd Latif dan Pengarang Berita Buletin Utama Ing Boon Seng.

Lim berkata mahkamah menetapkan 10 hingga 13 Julai untuk perbicaraan dan 15 Jun bagi pengurusan kes dan kedua-dua pihak juga perlu memfailkan pernyataan saksi mereka untuk digunakan dalam perbicaraan sebelum atau pada 15 Jun.

Pada 8 Mac 2013, Anwar memfailkan saman dengan mendakwa Utusan Melayu (M) Bhd menyiarkan artikel di muka hadapannya bertajuk ‘Ketua Pembangkang dikaitkan dengan pencerobohan?’ dan artikel di muka surat sembilan bertajuk ‘Tiga kumpulan menjadi dalang’ bertarikh 2 Mac 2013.

Dalam pernyataan tuntutannya, bekas anggota Parlimen Permatang Pauh itu mendakwa TV3, antara pukul 8 dan 9 malam, hari yang sama dalam Buletin Utama turut menyiarkan berita mengenai pencerobohan di Lahad Datu berdasarkan laporan berita yang dikeluarkan oleh Utusan Melayu.

Pada 5 Okt 2016, Anwar berjaya menyelesaikan kes saman itu terhadap Utusan Melayu dan Ketua Pengarangnya Abdul Aziz Ishak selepas kedua-dua pihak mencapai persetujuan untuk menyelesaikan kes saman itu.-Bernama

Tiada ulasan: