Selasa, 18 April 2017

Ketua Narkotik IPD Baling, isteri maut nahas

ANTARAPOS.COM
Post Pic
 
 
BALING: Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling dan isterinya maut manakala empat anaknya cedera selepas kenderaan dinaiki terbabit kemalangan di Kampung Teluk Teduri Jalan Baru Kupang-Baling pagi tadi.
 
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa, Asisten Superintendan Mohd Noor Mat Yaub, 38, memandu kereta jenis Perodua Myvi bersama isteri, Suriya Abdul Rahman, 37, dan empat anak berusia antara enam hingga 11 tahun.  
 
Berdasarkan maklumat, kereta dinaiki enam sekeluarga itu dikatakan cuba membelok untuk memasuki simpang sebelum dirempuh sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux dari arah Baling. 
 
Kereta dinaiki mangsa kemudian masuk ke laluan bertentangan dan berlanggar dengan sebuah Honda City dari arah Kupang menghala Baling. 
 
Rempuhan itu menyebabkan pasangan suami isteri dalam Perodua Myvi cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu kereta Honda City turut parah dan dihantar ke Hospital Baling untuk menerima rawatan. 
 
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Penguasa Bomba Nur Hafizah Muhammad Lukman berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung jam 7.13 pagi dan bergegas ke lokasi untuk membantu. 
 
Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Baling, manakala semua yang cedera dikejarkan ke hospital sama untuk rawatan lanjut.
 
 

Tiada ulasan: