Selasa, 18 April 2017

Isu hakmilik Parti NewGen: Ezam serah kepada RoS

Berita Daily Staff

Terdahulu, kepemimpinan asal Parti Generasi Baru atau lebih dikenali sebagai Party NewGen mendakwa telah dirampas oleh Ezam dan Khairuddin Abu Hassan dengan menukar nama parti itu kepada Parti Bebas Rasuah (PBR) seperti yang diumumkan awal bulan ini

KUALA LUMPUR: Bekas Senator, Mohamad Ezam Mohd Nor berkata bahawa beliau akan menyerahkan isu pendaftaran partinya kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) selepas beberapa orang yang mendakwa diri mereka sebahagian pimpinan Parti Generasi Baru yang kini ditukar nama sebagai Parti Bebas Rasuah yang kini di bawah pentadbiran Ezam dan Khairuddin Abu Hassan.

Beliau dalam satu kenyataan, menegaskan bahawa setiap keputusan dan tindakan yang dilakukan adalah mengikut saluran undang-undang yang ada di bawah Akta Pendaftar Pertubuhan.

“Sebagai pejuang anti rasuah kami tidak akan sesekali melanggar proses yang bercanggah dengan undang-undang dan tidak bermoral.

“Kami punya alasan untuk mempercayai bahawa dakwaan itu berniat jahat dan didalangi pemerintah yang rasuah dan tidak selesa kepada sebuah perjuangan khusus melawan rasuah dinegara ini,” katanya sambil menambah bahawa beliau serahkan kepada RoS untuk membuat keputusan akhir mengenai dakwaan-dakwaan tersebut dan berjanji akan akur kepada apa sahaja keputusan Pendaftar Pertubuhan.

“Perjuangan akan tetap diteruskan samada bersama parti generasi baru atau wadah lain kerana yang penting fokus kami untuk selamatkan Malaysia dari kehancuran pemimpin rasuah,” ujarnya lagi.

Terdahulu, hari ini kepemimpinan asal Parti Generasi Baru atau lebih dikenali sebagai Parti NewGen mendakwa telah dirampas oleh Ezam dan Khairuddin Abu Hassan dengan menukar nama parti itu kepada Parti Bebas Rasuah (PBR) seperti yang diumumkan awal bulan ini.

Bekas Bendahari MIC G Kumar yang menggelarkan dirinya sebagai Presiden Parti NewGen berkata, perkara itu berlaku tanpa pengetahuannya kerana tiada sebarang mesyuarat atau notis dibuat selain tanpa persetujuan lebih 300 ahli.

Beliau menjelaskan, pihaknya telah membuat laporan polis dan membuat aduan kepada RoS untuk menjalankan siasatan lanjut kerana telah melanggar perlembagaan parti dan undang-undang agensi itu, lapor Utusan.

“Pengasas PBR, S Gobi Krishnan yang telah digantung keahliannya sebagai Setiausaha Agung Parti Generasi Baru pada bulan lalu telah melanggar perlembagaan parti dengan melantik jawatankuasa baharu tanpa memberi notis panggilan mesyuarat kepada Presiden,” kata Kumar lagi.

Tiada ulasan: