Ahad, 16 April 2017

Doktor tipu cukai? MMA kesal kenyataan CEO LHDN

 
Presiden MMA Dr John Chew berkata, persatuan itu percaya doktor pada umumnya mamatuhi undang-undang dan teliti tentang mengisytiharkan pendapatan dan membayar semua cukai yang terhutang.


lhdn-333


KUALA LUMPUR: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berkata ia amat kesal dengan satu artikel dalam media hari ini yang seolah-olah membayangkan bahawa pengelakan cukai oleh doktor berlaku secara meluas.

Presiden MMA Dr John Chew berkata, persatuan itu percaya keadaan adalah sebaliknya kerana doktor pada umumnya mamatuhi undang-undang dan teliti tentang mengisytiharkan pendapatan dan membayar semua cukai yang terhutang.

“Kita berpendapat bahawa ketidakadilan ketara telah berlaku akibat salah lapor ini.

“Kita percaya ketua pengarah (dan ketua pegawai eksekutif Datuk Sabin Samitah) dari LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) akan menjelasan kenyataannya jika beliau telah disalah petik,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau merujuk kepada laporan memetik Sabin, yang membayanghkan doktor pakar swasta secara sistematik melakukan penipuan mengenai cukai pendapatan dengan secara salah mengisytiharkan pendapatan mereka di bawah syarikat sendirian berhad dan bukannya atas nama individu.

Presiden MMA itu berkata, penubuhan sebuah syarikat sendirian berhad adalah sah sepenuhnya di bawah undang-undang.

“Tidak ada undang-undang menyekat atau menghalang doktor daripada menubuhkan syarikat seumpama itu. LHDN menerima ini,” katanya.

Beliau menjelaskan, doktor secara amnya tidak begitu faham mengenai cukai, perakaunan dan hal-hal berkaitan dan ini mendorong mereka mendapatkan khidmat pihak seperti akauntan dan perunding cukai.

“Secara umumnya, kalangan profesional ini yang datang menemui pelanggan doktor mereka dan menasihatkan mereka untuk menubuhkan syarikat bagi memudahkan perancangan cukai.

“Untuk mengabaikan nasihat seorang profesional yang saya ambil untuk memberi nasihat kepada saya adalah satu kebodohan,” kata beliau.

Katanya, sejak merdeka, doktor swasta telah menubuhkan syarikat sendirian berhad dan mereka telah mengemukakan cukai yang dinyatakan dalam bentuk tersebut sejak itu.

“LHDN (yang sebelumnya dikenali sebagai Jabatan Hasil Dalam Negeri) telah menerima amalan ini.

“Kebanyakan doktor telah diaudit dengan terperinci selama ini. LHDN sentiasa sedia maklum bahawa sesetengah doktor menggunakan syarikat sendirian berhad berhubung urusan percukaian,” katanya.

Kata beliau, pada masa lalu, cukai syarikat adalah sama seperti cukai individu dan oleh itu, pengurangan cukai axdalah amat kecil, jika ada.

“Malahan sejak 2 tahun lepas, cukai syarikat adalah lebih tinggi daripada cukai peribadi. Dalam pengiraan semula, doktor telah terlebih bayar cukai dan boleh mendapatkan bayaran balik. Ini menunjukkan bahawa mengelakkan cukai bukan motif utama bagi penubuhan syarikat,” kata beliau.

Tiada ulasan: