Jumaat, 14 April 2017

BN boleh menang PRU-14: Najib

ANTARAPOS.COM
Post Pic


AKUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) yakin mampu mempertahankan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tidak kira bila ia akan diadakan, kata Datuk Seri Najib Razak hari ini.

Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN berkata, jentera parti sudah lama diletakkan dalam kesiapsiagaan untuk menghadapi PRU-14.

Bagaimanapun, beliau yang juga Presiden Umno, berkata masih ada sedikit tugas yang perlu dilaksanakan jentera sebelum gendang PRU dipalu.

"Tahun ini pun kita boleh menang, tahun depan pun kita boleh menang, Insya-Allah. Saya nampak jentera sudah tidak sabar untuk lawan, kita sudah asah keris kita, kita sudah ada kuasa ketumbukan, semangat kepahlawanan dan serikandi.

"Saya kira kita sudah bersedia tetapi masih ada sikit lagi kerja... Apa dia? Kita mesti pastikan jentera kita buat kerja.

"Saya harap kita boleh membuat persiapan ataupun kesiapsiagaan yang cukup rapi. Saya seorang yang percaya sebelum lakukan sesuatu kerja besar, kita perlu buat persiapan dan kesiapsiagaan yang cukup-cukup rapi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di depan lebih 5,000 ahli Umno dan Barisan Nasional (BN) sempena pelancaran jentera Jalinan Rakyat Plus (JR) Plus di Dewan Merdeka, di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini, hari ini.

Najib berkata, pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang diguna pakai dalam pentadbiran kerajaan perlu diaplikasikan dalam mengendalikan jentera parti.

"Kita sudah ada pasukan yang baik, bezanya dulu, kita masih dalam lohong masing-masing, kita agak bersifat jaga kawasan, wilayah, orang lain jangan masuk campur, ambil berat, ambil peduli, jangan tanya pun.

"Era itu tidak lagi sesuai, kita dah terbukti dalam kerajaan, kita buat NBOS, kerjasama NBOS berjaya banyak.

"Semangat NBOS perlu kita terjemah pulak dalam jentera BN, maka lahirlah idea bukan saja JR, malah JR Plus," katanya.

Pada akhir ucapan, Presiden Umno turut mengingatkan pemimpin dan ahli supaya tidak bertanya bila PRU-14 akan diadakan atau memikirkan untuk menjadi calon.

"Yang penting jangan berbalah, sebaliknya kita bersatu hati, bersatu fikiran, bersatu dalam ikatan BN... Kita akan berjuang, kita akan mempertahankan Putrajaya, Insya-Allah," katanya.

Tiada ulasan: