Rabu, 12 April 2017

Amanah Selangor: Perbahasan penentu sokong atau tidak RUU355

Oleh Athirah Hanapiah
Post Pic
 
 
SHAH ALAM : Amanah Selangor senada dengan PKR negeri bahawa PAS berhak membentangkan usul pindaan undang-undang untuk memperkasa Mahkamah Syariah di Parlimen namun tegas mahukan perbahasan mengenainya diadakan pada sesi Dewan Rakyat Julai depan. 
 
Pengerusinya, Izham Hashim berkata tidak timbul soal PKR Selangor mengambil ketetapan  yang lain daripada apa yang dipersetujui oleh PKR and Amanah di peringkat pusat. 
 
Beliau mengulas kenyataan Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei bahawa pihaknya yakin dengan hujah-hujah Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung parti Datuk Takiyuddin Hasan yang dibentangkan di Parlimen minggu lalu. 
 
Izham berkata Amanah berpendapat pencerahan yang diberikan Hadi dan Takiyuddin bersabit RUU355 belum cukup untuk meraih sokongan bulat Amanah mahupun PKR. 
 
"Benda yang baik kita sokong lah, tapi sebelum berbahas macam mana kita nak kata baik atau tak baik. Sebab kandungan RUU355 (PAS) ini terlalu simplistic (umum). 
 
"Tidak ada perician dari segi keadah macam mana, hukuman negeri macam mana...sepatutnya kena banyak ada maklumat itu sebelum  dibuat,” kata beliau. 
 
Ditanya sama ada kenyataan PKR Selangor boleh dirumuskan sebagai memberi sokongan bulat kepada RUU355, Izham berkata :  "Jadi kalau benda itu baik kalau lepas perbahasan, kita boleh sokong, tak ada masalah".
 
"Kita sokong dibahaskan, itu yang kita minta lama pun, bukan saja peringkat Selangor tetapi  juga nasional," kata beliau. 
 
Shuhaimi berkata RUU 355 wajar untuk diberikan sokongan dan perhatian oleh umat Islam dan ianya tidak sama sekali akan menyentuh hukuman kepada orang bukan Islam. 
 
Pendirian itu dilihat berlainan daripada kenyataan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli yang mempersoalkan beberapa aspek RUU 355. 
 
Beliau menuntut penjelasan sama ada peruntukan pada pindaan Akta 355 itu dikuatkuasakan secara adil ke atas semua orang Islam termasuk golongan elit dan bangsawan.
 
Shuhaimi menegaskan pandangan-pandangan seperti itu tidak mencerminkan ketetapan parti. 
 
"Sebarang kenyataan yang dikeluarkan mana-mana anggota parti jika berlainan dengan dasar yang dipersetujui secara bersama dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat, ia adalah bersifat peribadi sepertimana yang dikeluarkan oleh pelbagai pihak termasuk NGO Invoke," kata beliau. 
 
Rafizi adalah pengasas Invoke. 



Tiada ulasan: