Selasa, 11 April 2017

Amanah, PKR turut selar Nanyang Siang Pau persenda Hadi

Oleh Athirah Hanapiah
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Pemimpin Pakatan Harapan (PH) turut menyelar tindakan sebuah akhbar cina yang didakwa mempersenda Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
 
Setiausaha Agung Amanah, Mohd Anuar Mohd Tahir, beliau turut menganggap penggunaan karikatur 'monyet' adalah tidak sesuai dan sesuatu yang tidak dapat diterima.
 
Katanya, bagi orang Melayu terutamanya, perkara tersebut sangat menyalahi adat apabila menyamakan serta menamakan seseorang itu dengan haiwan.
 
"Menyamakan seseorang dengan haiwan adalah sesuatu perkara yang tidak wajar. Lukislah cara biasa sebab dalam masyarakat melayu, kita memang tak terima," kata beliau.
 
Beliau bagaimanapun menghormati hak dalam kewartawanan yang cuba menyampaikan sesuatu dalam cara berbeza, namun adalah salah jika ianya melampaui batas terutamanya dalam perihal agama Islam.
 
"Semua akhbar ada kebebasan, hak dalam kewartawanan, ada cara menulis, cara dengan membuat kartun tapi saya pun tidak faham budaya kewartawanan Cina, mungkin mereka sudah biasa," ulasnya lagi.
 
Dalam pada itu, Ketua Pemuda Amanah, Mohd Sany Hamzan juga menyifatkan perkara tersebut bukan sahaja penghinaan kepada Hadi dan Pandikar Amin, malahan kepada masyarakat Islam di negara ini. 
 
"Pada saya Akta 355 yang dibawa oleh Presiden PAS untuk memperkasa Mahkamah Syariah itu bersangkutan dengan masalah orang Islam, jadi kira karikatur-karikatur begitu tidak sepatutnya dikeluarkanlah," ulas beliau.
 
Sementara itu, bagi Naib Presiden PKR, Dr Xavier Jayakumar juga menganggap penyiaran karikatur tersebut merupakan perkara yang tidak seharusnya dilakukan oleh sebuah akhbar tempatan yang profesional.
 
"Saya rasa itu bukan budaya kita lah untuk bawa sesuatu isu dengan menggunakan kartun dan sebagainya. Memang saya rasa mereka salah dan harus minta maaf dengan perbuatan mereka itu," kata ADUN Sri Andalas itu. 
 
Nanyang Siang Pau semalam telah mengemukakan permohonan maaf kepada Abdul Hadi Awang dan Pandikar Amin selepas menggunakan kartun yang berunsurkan haiwan bagi merujuk kepada pembentangan RUU 355 di Dewan Rakyat.
 
Bagaimanapun, karikatur itu menimbulkan rasa kurang senang terutamanya kepada penyokong PAS, justeru menuntut supaya Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil tindakan tegas ke atas akhbar berkenaan.


Tiada ulasan: