Sabtu, 1 April 2017

Amanah Kedah sedia tanding 3 penjuru dengan Pas dan BN

HAZAYANI ZAKARIA

Phahrolrazi Zawawi, Pas Kedah tidak berapa baik dengan Umno.Phahrolrazi Zawawi, Pas Kedah tidak berapa baik dengan Umno.

Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Kedah bersedia jika berlaku pertandingan tiga penjuru antara Pakatan Harapan (Amanah, PKR, DAP dan Bersatu) dengan Barisan Nasional (BN) dan Pas.

Timbalan Pengerusi Amanah Kedah Datuk Phahrolrazi Mohamad Zawawi berkata, beliau yakin ahli dan penyokong Pas akan beralih kepada Pakatan Harapan jika berlaku sedemikian kerana Pas dilihat lebih memberi kelebihan kepada Umno-BN.

"Dalam konteks sokongan daripada ahli dan penyokong Pas yang dahulu yang kami perhatikan bahawa mereka akan beralih menyokong Pakatan Harapan oleh kerana Pas sudah lebih memberi kelebihan kepada Barisan Nasional.

"Walaupun mereka masuk bertanding sebagai tiga penjuru. Itu perkembangan yang saya lihat," katanya ketika ditemui Malaysiadateline di Alor Setar hari ini.

Bagaimanapun Pengarah Pilihan Raya Amanah Kedah itu berkata, keputusan sama ada bertanding satu lawan satu atau tiga penjuru bergantung kepada keputusan parti masing-masing di peringkat nasional.

"Tapi melihat kepada situasi sekarang seolah-olah tak dapat nak elak pertandingan tiga penjuru kerana Bersatu sudah dalam gabungan pembangkang tapi Pas masih lagi tidak membuat keputusan untuk berada di posisi mana.

"Di Kedah ini, Pas negeri terpaksa patuh kepada Pas Pusat tetapi mereka tidak dapat mengawal sikap dan pendirian ahli dan penyokong," katanya sambil membayangkan hampir pasti pertandingan tiga penjuru akan berlaku di negeri itu.

Adun Pengkalan Kundur yang berhijrah daripada Pas itu juga menjelaskan, jika Pas terus-menerus bersikap mesra Umno, tidak mustahil sebahagian besar ahli Pas negeri itu meninggalkan parti.

"Kalau benar berlaku apa-apa persefahaman antara (Pas) Pusat dengan Umno saya rasa Pas Kedah akhirnya akan membuat pendirian yang jelas. Saya mempunyai sikap yang positif ia akan memberi manfaat (kepada Pakatan Harapan).

"Pas Kedah ini agak keras dengan Umno ini warisan yang sedia ada. Walaupun Umno Kedah buat kenyataan mahu kerjasama dengan Pas tapi kenyataan itu nampak sebelah pihak. Pas Kedah tidak pernah menyambut seperti mana pimpinan Pas Pusat yang membuat kenyataan lunak terhadap Umno.

"Kalau Pas pusat melangkah terus lagi saya fikir sebahagian besar pendukung Pas Kedah sama ada bersama dengan Pakatan Harapan kalau tidak beralih parti pun dari segi sokongan saya yakin mereka memihak kepada Pakatan Harapan," kata bekas exco kerajaan negeri sewaktu dipimpin bekas Menteri Besar, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak itu.

Tiada ulasan: