Bernama
Polis Sabah mengesahkan tiga kru kapal nelayan yang diculik di
perairan Pulau Pom Pom, Semporna malam tadi adalah warga Filipina, namun
memiliki dokumen IMM13 serta Surat Banci daripada Pasukan Pertugas
Khas.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Abdul Rashid Harun berkata, ketiga-tiga
mangsa berkenaan dikenali sebagai Loloi Alpin, 30, Sami, 30-an, dan
Masurin, 50-an diculik tujuh lelaki bersenjata api ketika menangkap ikan
bersama-sama 13 lagi anak kapal di perairan berkenaan kira-kira 10.40
malam.
"Ketika kejadian kapal nelayan yang dinaiki mangsa didatangi sebuah
bot laju yang dinaiki tujuh lelaki bertopeng dan bersenjatakan pistol
serta M16.
Enam suspek telah menaiki kapal berkenaan dan mengarahkan semua anak
kapal supaya meniarap di lantai... seorang lagi suspek menunggu di dalam
bot laju itu.
"Suspek kemudiannya menggeledah kapal nelayan itu, sebelum melarikan
beg pakaian, telefon bimbit dan dompet milik beberapa anak kapal nelayan
berkenaan," katanya dalam kenyataan diKota Kinabalu, hari ini.
Beliau berkata siasatan awal mendapati kapal nelayan berkenaan telah
keluar untuk menangkap ikan di perairan berkenaan pada kira-kira 4
petang semalam.
Abdul Rashid berkata polis kini menjalankan siasatan lanjut mengenai
penculikan itu dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun
Keseksaan.-Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan