Tengku Adnan
 
 
PUTRAJAYA - BN akan mendapatkan laporan lengkap daripada Pengerusi BN Pulau Pinang dan Kelantan sebelum membuat keputusan berhubung penyertaan dalam PRK di Permatang Pauh dan Chempaka.
  
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, BN tidak perlu mengikut rentak parti lawan yang ghairah bercakap mengenai kekosongan kerusi Parlimen Permatang Pauh di Pulau Pinang dan kerusi Dun Chempaka di Kelantan sedangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sendiri belum mengeluarkan notis mengenai kekosongan kerusi berkenaan.
  
"Kita akan tunggu laporan daripada Teng (Teng Chang Yeow) selaku Pengerusi BN Pulau Pinang untuk kerusi Permatang Pauh dan Datuk Seri Mustapa Mohamed
selaku Pengerusi BN Kelantan untuk menyediakan laporan menyeluruh.
  
Daripada situ kita akan membuat satu penimbangan apa yang perlu kita lakukan," katanya semasa mengulas berhubung penyertaan BN dalam PRK itu ketika ditemui pemberita selepas melepaskan Konvoi Berbasikal 1Wilayah Persekutuan 2015 sempena Hari Wilayah di hadapan Istana Kehakiman di sini hari ini.
  
Mengenai pandangan Mustapa, yang juga Pengerusi Umno Kelantan bahawa BN tidak perlu meletakkan calon di Dun Chempaka sebaliknya memberi fokus kepada soal perpaduan dan pembangunan pasca banjir, Tengku Adnan berkata, kenyataan itu menunjukkan BN melihat kepada permasalahan rakyat berbanding soal politik semata-mata.
  
Tengku Adnan berkata, pandangan itu akan terus dibincangkan antara pimpinan tertinggi BN, walaupun perkara mengenainya telah disentuh pada mesyuarat Dewan Tertinggi BN Jumaat lepas.
  
Bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh, penyandangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen apabila habis tempoh 14 hari dari tarikh beliau disabitkan dan dihukum atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya.
  
Mahkamah Persekutuan pada Selasa memutuskan Anwar gagal dalam rayuan terakhirnya terhadap sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan dengan mengekalkan hukuman penjara lima tahun.
  
Namun, sekiranya Anwar memfailkan petisyen bagi suatu pengampunan dalam tempoh 14 hari dari tarikh penghakiman Mahkamah Persekutuan, kehilangan kelayakan berkenaan hanya akan mula berkuatkuasa sebaik petisyen itu diputuskan sebagaimana diperuntukkan di bawah perenggan (c) Fasal (4) Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan.
 
Kerusi Dun Chempaka pula kosong apabila penyandangnya Datuk Nik Abdul Aziz
Nik Mat meninggal dunia pada Khamis akibat kanser prostat. - Bernama