Jumaat, 13 Februari 2015

Tribut Tok Guru Nik Abdul Aziz, yang dikagumi dari jauh

Nik_Abdul_Aziz

Oleh Zahid M. Naser


Semalam hujan lebat, bagai menangisi seseorang. Saya merasakan kepelikan itu setelah lama Kuala Lumpur ‘kemarau’. Nah, malamnya dengar berita Tok Guru Nik Abdul Aziz meninggal dunia di twitter editor berita Roketkini.com. Innalillahi wainna ilaihi raji’un. Namun, saya menahan tangisan saya. Dalam hati saya senyap-senyap berikan doa apa yang patut.

Nik Aziz adalah wajah penting politik negara. DAP terutamanya menyedari hal itu, walaupun ada hal-hal yang mereka selisih. Namun, Nik Aziz tidak tipikal seperti sebahagian ‘ulama-ulama’. Beliau adalah ulama yang selalu melawan arus lebih-lebih lagi kepada mereka yang tidak faham akan kebejatan dan kezaliman pemerintah UMNO dan Barisan Nasional.

Mungkin itulah antara kualiti yang sangat jarang dijumpai akhir-akhir ini. ‘Mazhab’ Tok Guru yang sedar akan hal ini, membuatkan dia disenangi rakan-rakan Pakatan Rakyat. DAP terutamanya, yang memang memusuhi sosok gerombolan UMNO dan Barisan Nasional-parti perkauman yang dahsyat itu.

Jika boleh saya katakan, Nik Aziz adalah antara gam terakhir yang membolehkan parti-parti gabungan Pakatan Rakyat bersatu dan fokus melawan UMNO untuk sebuah pemerintahan yang adil berdasarkan pentadbiran berintegriti. Saya masih teringat bagaimana Nik Aziz membidas gerombolan aktivis ‘Kerajaan Perpaduan Selangor’ yang diwakili Hasan Ali, Nasaruddin Mat Isa dan mereka yang bersama mereka. Terkehel mereka pada waktu itu. Sehingga akhirnya, usaha-usaha menghancurkan Pakatan Rakyat sirna- atas sensitiviti Nik Abdul Aziz.

Kerana membesar dari keluarga PAS, bahkan mungkin tidaklah melebih saya katakan pentaksub PAS. Saya arif akan psike orang-orang PAS. Nasib baik keluarga saya bukan dari pendokong ‘Kerajaan Perpaduan’. Psike orang-orang PAS adalah mereka sangat kuat berpegang dengan barisan ‘ulama-ulama’nya. Jika tidak, tidak adalah slogan ‘Kepimpinan Ulama’ itu. Ulama bagi mereka sangat penting dalam memimpin kerana mudah, mereka lebih berilmu, mereka lebih bertakwa, dan mereka lebih segalanya (saya pula ada takrifan ulama saya sendiri).

Nik Aziz adalah generasi ‘Kepimpinan Ulama’, dia bukan generasi asal seperti zaman Dato’ Asri ataupun zaman Burhanuddin Al-Helmi. Namun, walaupun dia berada dalam generasi kepimpinan ulama dia tidak mendabik dada dan mempergunakan gelaran atau slogan itu sewenang-wenangnya seperti yang dilakukan sebahagian orang- kerana itu mungkin keluarga saya dari mazhab yang ini.
Mazhab ‘asal’ kepimpinan ulama. Yang sedar akan kebejatan dan kezaliman, yang sedar prioriti, yang sedar siapa musuh siapa kawan, yang sedar mana yang harus didulukan mana yang harus dikemudiankan.

Ya, memang benar ada hal juga yang saya tidak setuju dengan sosok sederhana tetapi tajam pemikiran dan pencak kinayah dan isti’arahnya itu. Tetapi, jasanya yang besar dalam politik pembangkang tidak harus diperkecilkan.

Betul, beliau antara pendokong kuat hudud. Kerana itu, DAP selalu akan membangkangnya berdasarkan beberapa perkara. Namun, di sini saya tidak mahu mengenang hal-hal yang diperselisihkan antara sesama Pakatan – walaupun ia membabitkan soal prinsip.

Saya ingin mengenang bagaimana tolerannya Nik Aziz tentang ‘Allah’- tuhan orang Islam, tuhan orang Kristian, tuhan orang Yahudi. Sampai sempat satu ketika Nik Aziz dipanggil puak-puak kanan di tanah air kita sebagai seorang pluralis dan Islam Liberal. Nah, saya katakan kepada mereka jauh sekali Nik Aziz itu seorang liberal mahupun pluralis, melihat kenyataan-kenyataan konservatifnya yang lain. Jauh sekali.

Bila terkenangkan saat di mana dia dengan senang mahu berkongsi nama tuhan dengan orang lain. Malaysia mendapat nafas besarnya semula- setelah lelah dengan pelbagai demonstrasi dan ancaman kepala babi dan kepala lembu serta pelbagai kebencian dari ‘orang-orang agama’ juga. Nik Aziz mengambil sikap penting sebagai seorang agamawan sekaligus negarawan yang menjaga kepentingan semua agama – walaupun agama rasmi tanah air kita adalah Islam.

Itulah antara jasanya sentiasa menjaga akan keharmonian tanah air, selain kuatnya dia melawan UMNO dan Barisan Nasional- yang saya ingati sampai bila-bila. Sebagai seorang pemimpin politik hal itu payah. Dia mungkin akan kehilangan sokongan, akan diherdik dan dihina, dan mungkin saja menjebaknya kepada sebuah kejatuhan dalam parti atau pilihanraya.

Di sini, saya terfikir, bagaimana seorang Nik Aziz boleh mempunyai corak pemikiran yang berwarna-warni begitu? Sosok kontroversinya itu lahir dari mana? Apakah sejarah yang melatari pergulatan politik yang penuh prinsip itu? Dan bagaimanakah usia sepatutnya menjadikan orang lebih berhikmah?

Saat ini, sebaknya mulai terasa sebagai anak muda. Apakah dengan kematian itu boleh saya belajar lagi dari sosok pemimpin sepertinya. Atau tidak akan ada lagi pemimpin ‘bermazhab’ sepertinya bahkan mempunyai kualiti lebih baik darinya. Mungkin ada, mungkin ada. Kita akan berharap.
Selamatlah atas pemergianmu Tok Guru, kami di sini akan terus mengenang segala kebaikanmu dan sosok ‘tajam’mu.-Roketkini.com

Nota kaki:

Kinayah dan Isti’arah adalah sejenis kaedah perlambangan dalam Bahasa Arab, ia termasuk dalam ilmu Balaghah(seni kata bahasa).

Tiada ulasan: