Rabu, 11 Februari 2015

Tiga Kes Di Era Najib Yang Menjadikan Api Lebih Membakar Dalam Sekam



Walaupun barangkali ada yang terlalu gembira dengan perginya Anwar Ibrahim ke penjara, termasuk ada yang berura-ura mahu bersedekah pisang di masjid pada Jumaat ini, realitinya hukuman itu lebih merugikan Najib Razak yang masih tersembam dalam persepsi buruk di mata rakyat ketika ini.

Selain beberapa pihak luar seperti  AS, Australia dan Kesatuan Eropah, Pejabat Hak Asasi PBB dan Ikhwanul Muslimin yang nyata tidak gembira dengan hukuman tersebut, kesedihan rakyat dalam negara yang bercampur simpati dengan hukuman itu juga sudah boleh dirasai di mana-mana.

Kesedihan dan simpati rakyat ini walaupun tidak diluahkan secara terbuka sebagaimana kali pertama Anwar dihantar ke penjara dulu, namun mereka seolah-olah sedang memendamnya dalam perasaan dan hanya menunggu tarikh pilihanraya akan datang untuk meluahkan segala-galanya.

Untuk itu, janganlah terlalu bergembira dengan hukuman yang diterima Anwar dan boleh jadi pisang yang mahu disedekahkan itu adalah juga untuk meraikan sebuah kejatuhan yang lain di masa akan datang.

Sementara Anwar sekali lagi bertegas dalam ucapannya di mahkamah semalam bahawa beliau tetap tidak bersalah dan kejadian itu tidak pernah berlaku, yang lebih membimbangkan rakyat kebanyakan waktu ini ialah semua keraguan yang ditimbulkan sepanjang perbicaraan telah ditolak sama-sekali.

Dengan itu, walaupun ada yang berhujah bahawa perbicaraan ini telah berlangsung hampir tujuh tahun serta berlaku 70 kali penangguhan dan ini bermakna aspek keadilan tidak seharusnya berbangkit lagi, tetapi yang nyata di mata rakyat semua keraguan yang ditimbulkan semasa  perbicaraan telah ditolak sama-sekali.

Keadilan yang seperti tidak tertegak sepenuhnya dalam kes Anwar ini juga segera mengingatkan rakyat kepada dua kes mahkamah lain yang berlaku sepanjang era pentadbiran Najib sebelum ini iaitu Razak Baginda yang dituduh bersuhabat dalam pembunuhan Altantuya dan Azilah Hadri serta Sirul Azhar Umar yang dituduh membunuh model atau penterjemah kelahiran Mongolia itu.

Dalam kes Razak, beliau telah didapati tidak bersalah oleh Mahkamah Tinggi dan kesnya tidak dirayu langsung ke mahkamah yang lebih tinggi. Anwar juga bebas di peringkat Mahkamah Tinggi tetapi kesnya segera dirayu.

Jelas ada perbezaan di sini dan oleh kerana tiada rayuan dilakukan, Razak Baginda kini telah bebas daripada segala tuduhan dan sebarang kaitan dalam pembunuhan Altantuya itu.

Tetapi Azilah dan Sirul terus dibicarakan dan akhirnya telah didapati bersalah membunuh Altantuya serta dijatuhkan hukuman gantung sampai mati, walaupun tiada motif dapat dikaitkan mengapa mereka melakukannya. Mahkamah juga kemudian mengatakan, motif adalah tidak penting.

Barangkali inilah satu-satunya kes pembunuhan di mana motif tidak dianggap penting oleh mahkamah, tetapi pesalah tetap dijatuhkan hukuman mati.

Ketika hukuman dijatuhkan oleh Mahkamah Persekutuan baru-baru ini,  hanya Azilah yang hadir manakala Sirul telah melarikan diri ke Australia dah sehingga ini masih ditahan di negara tersebut.

Ketiga-ketiga kes ini memberi impak yang besar kepada pentadbiran Najib dari segi keyakinan rakyat mengenai keadilan dan kesederhanaan yang sering dilaung-laungkannya.

Razak Baginda didapati bebas dan kesnya langsung tidak dirayu. Azilah dan Sirul, walaupun tiada motif, tetap didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati. Anwar pula, di sebalik semua rentetan keraguan yang ditimbulkan dalam mahkamah dan didedahkan secara meluas di media-media, akhirnya didapati bersalah dan dihukum lima tahun penjara.

Meneliti ketiga-tiga kes tersebut, sama ada seseorang itu berfikir "di dalam kotak", "di luar kotak" atau "dari sisi kotak"  sekali pun, pastinya tidak dapat mengelak daripada beranggapan atau merasakan adanya perbezaan ketara bagaimana apa yang dikatakan keadilan itu berjalan di era Najib ini.

Tentulah hanya mereka yang "tiada kotak"  saja yang sanggup mengakui sebaliknya serta memuji-memuji kesederhanaan dan keadilan yang cuba dibawa dalam pentadbiran Najib ini.

Semua ini, secara diam dan perlahan-lahan, sebenarnya sedang marak umpama api dalam sekam di hati rakyat dan hanya menunggu masa untuk meruntuhkan segala-galanya.

Tiada ulasan: