ASPAN ALIAS
Allahyarham Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (TGNA) dihormati ramai sehingga akhir kalamnya. Sebabnya adalah ‘obvious’, iaitu kerana beliau seorang ulamak yang memainkan peranan membentuk dan landskap politik negara terutamanya sejaka 20 tahun terakhir dalam hidupnya. TGNA dianggap sebagai seorang yang merendah diri dan hidup begitu ‘simple’ dan beliau tidak memerlukan rumah yang besar seperti pemimpin-pemimpi UMNO dan sesetengah pimimpin PAS sendiri.
Di mana beliau tinggal sebelum
memegang jawatan Menteri Besar di situ jugalah beliau duduk dan tinggal semasa
memegang jawatan Menteri Besar itu. Bagaimana beliau berpakaian sebelum menjadi
Menteri Besar begitu jugalah pakaiannya semasa dan sesudah menjadi Menteri
Besar. Beliau tidak berubah cara hidup beliau walaupun beliau merupakan salah
seorang pemimpin besar negara ini.
Beliau tidak ke sana ke mari dengan
jet-jet mewah dan mempunyai isteri yang memegang pelbagai jawatan serta
mempunyai pengaruh terhadap pimpinan beliau setiap masa. Malahan ramai yang
tidak mengetahui nama isteri beliau. Di Singapura dahulu tidak ada siapa yang
mengetahui nama isteri Lee Kuan Yew sampailah isterinya meninggal dunia,
barulah namanya timbul. Itu pun sekarang ramai yang sudah lupa nama mendiang
isterinya termasuk diri saya sendiri.
TGNA tidak mempunyai kehidupan
yang glamour tetapi beliau tetap pemimpin besar kerana beliau betul-betul
memilih cara hidup yang wasatiyah seperti saranan Dato' Seri Najib. Akhirnya
yang bercakap tentang wasatiyah membelanjakan wang rakyat dengan begitu boros
dan TGNA yang tidak melaungkan istilah wasatiyah tetap hidup dengan wasatiyah
yang sebenarnya wasatiyah.
Ramai di antara kita yang
beranggapan TGNA adalah seorang yang tidak kaya-raya dan tidak pula miskin
kerana beliau berbelanja mengikut keupayaaan beliau dan tidak banyak
menggunakan wang rakyat untuk kepentingan keluarga dan peribadi beliau.
Tetapi akhirnya terbukti TGNA
merupakan orang yang terkaya di antara pemimpin-pemimpin negara. Semasa
kematian beliau dua hari lepas, terbukti yang TGNA merupakan pemimpin yang
teramat kaya. Berita kematian beliau telah diterima dengan begitu terharu oleh
rakyat tanpa mengira kefahaman politik dan bangsa dan budaya. Beliau dihormati
oleh ramai manusia bukan sahaja dalam negara ini tetapi berita kematiannya diketahui umum di peringkat antarabangsa.
Inilah kekayaan yang sebenarnya
yang setiap umat perlu cari. Mahu tidak mahu kita wajar menerima kenyataan yang
TGNA merupakan pemimpin yang terkaya melebihi kekayaan yang ada pada
pemimpin-pemimpin besar yang lain. TGNA telah menunjukan betapa fakirnya banyak
pemimpin-pemimpin yang lain semasa kematiannya.
Saya begitu kagum melihat
keramaian rakyat yang datang menziarahi jenazah beliau. Saya yang tidak
berkesempatan untuk ke Kota Bharu hanya melihat lautan manusia yang membanjiri
Kota Bharu di hari pengkebumian beliau. Inilah kekayaan pemimpin ini yang sangat
terserlah dan boleh dilihat dengan mata kepala kita sendiri.
Dalam kehidupan ini, bagaimana
kita memulakannya tidak begitu penting, tetapi yang paling penting ialah bagaimana
kita mengakhiri kehidupan kita. Segala amal dan ibadah serta ubudiyah dan amal
sedekah kita itu semata-mata untuk mencari kekayaan di dunia dan akhirat. Kita
mahu mati dalam kalimah dan seterus berbahagia di alam yang kekal itu nanti.
Bagi mereka yang berjaya untuk mencapai kekayaan ini, mereka adalah kekayaan
yang sejati dan sebenarnya.
Kekayaan wang ringgit bukan lagi
setaraf dengan kekayaan jiwa kita. Kita boleh menjadi orang yang kaya dengan
wang ringgit tetapi jiwa mereka masih fakir dan tidak bernyawa. Bagi mereka
yang kaya jiwanya boleh dianggap sebagai seekor ikan yang hidup bertahun-tahun
dalam lautan masin yang dalam, tetapi tidak terpengaruh dengan keadaan masin
persekitaran dalam lautan yang luas itu. Jika ikan yang hidup dan berjiwa ini
dikeluarkan dari lautan yang dalam dan masin itu, ia akan tetap tidak masin dan
terpengaruh dengan keadaan sekeliling yang mencabar itu.
Sebaliknya, jika kita kaya tetapi
fakir jiwa, kita boleh dianggap sebagai ikan mati yang akan hanyut mengikut
arus, atau dalam bahasa Inggerisnya ‘swimming with the flow’. Mereka ini ibarat
ikan mati yang jika dimasukkan ke dalam air yang masin buat beberapa ketika dan
dijemur, ikan itu akan menjadi ikan kering masin, kerana elemen masin itu telah
meresap ke dalam ikan mati itu. Ikan masin kering ini selalunya akan terbuka
matanya tetapi tidak bernyawa kerana sudah menjadi ikan masin yang akan digulai
dan dimakan sebagai hidangan yang enak.
Kalau dilihat dari zahiriahnya
ada tanda-tanda besar yang TGNA merupakan pemimpin yang sangat kaya, malahan
lebih kaya daripada ramai pemimpin-pemimpin yang lain. Pembanjiran puluhan ribu
manusia berbilang kaum dihari pengkebumian beliau tiga hari lepas jelas
menampakkan bagaimana kayanya TGNA pemimpin politik dan masyarakat yang sangat
popular itu.
Sesungguhnya TGNA adalah seorang
yang paling kaya yang kita lihat dalam sejarah negara kita. Beliau kaya dalam
erti hakikatnya yang sebenar.
Saya berdoa agar rohnya sebaris dengan roh-roh aulia, ambia-ambia serta syuhada.
Saya berdoa agar rohnya sebaris dengan roh-roh aulia, ambia-ambia serta syuhada.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan