SEBUT pasal sambung belajar bagi yang sudah bekerja, saya percaya ramai geleng kepala. Saya sendiri pernah begitu. Namun sedar tak sedar, sudah dua kali saya sambung belajar.

Kali pertama pada tahun 2000, tahun kelima saya jadi wartawan. Kali kedua, pertengahan 2013 yang sampai sekarang masih belum selesai. Terjebaknya saya dalam program belajar semula ini, ada kisahnya yang boleh dikira dramatiklah juga.

Saya mula bekerja sebagai wartawan tanpa ijazah pada 1994. Awal 1997, saya naik pangkat jadi pengarang di sebuah akhbar mingguan dan di bawah seliaan saya, ada beberapa wartawan berijazah. Dengan mereka, saya tidak sembunyikan cerita latar belakang akademik saya yang lebih rendah. Tujuan saya untuk mereka berasa tercabar dan berusaha menjadi wartawan yang lebih baik.

Sering saya katakan bahawa syarat jadi wartawan yang baik bukan pada ijazah. Yang penting ialah minat dan kesungguhan untuk belajar dan mencabar diri dengan keupayaan baharu sama ada dalam meningkatkan penulisan ataupun pencarian bahan. Itu lebih penting daripada teori yang diajar di bilik kuliah. Tidak. Bukanlah saya memperlekehkan mereka yang mempunyai ijazah kewartawanan, apa lagi pensyarah yang mengajar subjek itu di universiti.

Tujuan saya hanya mahu mencabar, sekalipun mempunyai ijazah, itu tidak menjadikan mereka lebih baik jika tiada semangat untuk meningkatkan keupayaan. Apa lagi jika mereka anggap sudah sampai kemuncak setelah diterima bekerja sebagai wartawan. Sering saya peringatkan bahawa satu-satunya kerjaya profesional di dunia yang ijazah bukanlah syarat utama hanyalah wartawan. Seorang pembantu perubatan (MA) yang sudah 30 tahun bekerja masih tidak layak jadi doktor jika tidak miliki ijazah perubatan.

Begitu juga yang petah berhujah, tidak mungkin dapat jadi peguam tanpa kelulusan guaman melainkan hanya loyar di kedai kopi. Namun mereka bernasib baik dapat jadi wartawan dan tulisan mereka disiarkan sedangkan di luar sana, ramai orang yang mungkin lebih pandai menulis tidak dapat peluang seperti mereka.

Lalu saya nasihatkan, setiap kali menulis, fikirlah untuk menulis dengan sehabis baik kerana jika bekerja sekadar melepas batok di tangga, malulah kepada orang yang seperti itu.

Akan tetapi lain padang, lain belalang, lain orang, lain pula fikiran. Pada satu ketika, saya mendapat tiga wartawan yang baru keluar universiti. Walaupun baru, ego mereka cukup tinggi.

Saya terangkan kepada mereka gaya penulisan yang diamalkan di akhbar kami dan ingatkan bahawa itu antara perkara yang mereka mesti patuhi. Dengan tidak disangka-sangka, seorang daripada mereka ‘mengingatkan’ saya bahawa apa yang saya beritahu itu, tidak diajar pun oleh pensyarah mereka dan mereka tidak akan ikut. Saya terkedu. Wartawan yang sudah lama bekerja dengan saya pun tidak sebiadab itu lalu saya tunjukkan arah pintu sambil berkata: “Kamu nampak pintu tu? Keluar ikut sana, dan pergilah cari pensyarah kamu. Ikutlah cara dia kerana kamu terlalu hebat untuk bekerja dengan saya.”

Pada suatu hari yang lain, telinga saya tertangkap kata-kata yang teramat menghiris hati oleh seorang wartawan berijazah. Saya tahu kata-kata itu memang ditujukan istimewa untuk saya: “Pangkat tinggi pun tak guna kalau tak ada ijazah, nanti jatuh... melepek!”

Sakitnya hati, tuhan sahaja yang tahu. Apa pun, saya kena sabar. Tak boleh ikut hati yang sakit. Jatuhlah saham kalau saya belasah perempuan. Sepanjang hari itu, kata-katanya terngiang-ngiang. Tiba-tiba akal waras saya membisik sesuatu yang sangat positif, "mengapa tak sambung belajar? Nanti tidaklah orang hina lagi.."

Akhirnya saya pun daftar untuk sambung belajar. Belajar sambil bekerja, mengejar ‘deadline', pada masa yang sama menguruskan keluarga, pastinya tidak mudah. Sesiapa yang pernah lalui pengalaman itu, belum tentu mampu untuk ceritakan semula pengalaman dengan sempurna. Saya sendiri tidak tahu bagaimana saya harungi tempoh selama empat tahun hingga akhirnya saya sah bergelar graduan pada 2004, tahun kesepuluh saya jadi wartawan.

Memanglah menarik pengalaman itu. Setiap duka, pasti ada juga yang suka. Belajar sambil bekerja bukan seperti pelajar sepenuh masa. Berbekal pengalaman, pandangan kita tentang kehidupan tidak sama dengan anak-anak muda pelajar sepenuh masa. Pensyarah sering mengingatkan bahawa kehadiran mereka di dalam kelas 'mahasitua' bukan untuk mengajar tetapi berkongsi pengalaman.

Walaupun sukar, saya tidak serik malah suka cari penyakit. Kerana dalam sakit, ada juga yang menarik. Itulah sebabnya saya sambung belajar lagi, untuk mengejar ijazah sarjana pula. Kepada si dia yang menyindir saya 15 tahun dahulu, terima kasih. Kerana andalah saya berada di sini!