Jumaat, 20 Februari 2015

Siapa pengkhianat dalam PAS

 
Baiah berkait dengan janji setia kepada perjuangan Islam yang pernah dilakukan Rasulullah.


Abdul Hadi Awang_pas_300


KUALA TERENGGANU: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberi peringatan supaya ahli-ahli PAS tidak melanggar baiah dan wala’ serta menjadi pengkhianat kepada jemaah.

Beliau yang berdepan dengan tekanan sekutu Pakatan Rakyat ekoran pendirian yang tidak sehaluan menegaskan, ahli-ahli PAS tidak seharusnya melakukan perkara yang hanya merugikan masa depan parti.

Dalam kenyataan terbaharu menerusi video yang dimuat naik dalam laman Facebook rasminya, Abdul Hadi menegaskan, mereka harus memahami baiah dan wala’ sebagai sebahagian daripada ahli jemaah dalam persoalan yang sangat penting.

Kenyataan melalui video itu merupakan amaran beliau terhadap ahli-ahli parti yang kelihatan lebih memihak kepada Pakatan Rakyat dan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meringkuk dalam Penjara kerana meliwat pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Ia juga peringatan bahawa PAS mengalami perpecahan serius apabila golongan liberal yang dikategorikan sebagai Anwarinas melakukan gerakan menyingkir beliau sebagai Presiden.

Katanya, apabila menyebut tentang baiah, perkara itu berkait dengan janji setia kepada perjuangan Islam yang pernah dilakukan Rasulullah untuk mengukuhkan seorang ahli jemaah dengan jemaah serta kesetiaannya.

“Maka yang terpenting di dalam jemaah itu ialah memelihara yang tersirat dalam hati kita, keimanan dan keikhlasan kita kepada Allah dan perjuangan untuk menegakkan Islam.

“Dalam melaksanakan apa yang dilahirkan dan menjadi hukum kepada baiah khususnya dalam perkara ketaatan dan perkara yang mutlak kepada Allah dan Rasul dan ketaatan yang tidak bermutlak, yakni bersyarat kepada kepimpinan dan jemaah dalam perkara yang tidak maksiat dan tidak bercanggah dengan perintah dan ajaran Rasul,” katanya, lapor Utusan Malaysia.

Menurut beliau, wala’ dan kesetiaan kepada perjuangan Islam dan jemaah seharusnya tidak berbelah-bahagi, dengan cara tidak memesongkan ahli-ahli daripada menjalankan kerja jemaah.

Di samping itu katanya, mereka perlu menghindarkan diri daripada kerja-kerja yang merugikan jemaah dan berkhidmat kepada pihak lain bagi mengelakkan dikategorikan sebagai pengkhianat.

“Ini merupakan hal-hal yang sangat penting apabila kita melakukan baiah kepada kumpulan Islam, kalau di negara kita ialah Parti Islam SeMalaysia,” ujarnya.

Tiada ulasan: