Ahad, 15 Februari 2015

Semakin lunturkah akhlak ahli dan pemimpin PAS?

Oleh Zainal Salleh
Post Pic
 
 
 
[ULASAN] Meskipun PAS mengisytiharkan bahawa ia adalah sebuah parti politik yang berlandaskan perjuangan Islam, pada umumnya, fe’el politiknya memang tidak banyak berbeza dengan perangai parti-parti politik sekular yang lain. 
 
Ini dapat dilihat daripada tindak tanduk dan kenyataan-kenyataan yang dibuat pemimpin-pemimpin utamanya seperti dalam isu tuntutan dan pendedahan segelintir ahli-ahlinya yang mahu beberapa pemimpin disiasat dan dipecat kerana cuba mengkhianati presiden. 
 
Ahad lalu, 8 Februari 2015, beberapa pemimpin peringkat Dewan Pemuda PAS negeri memberanikan diri untuk berdemonstrasi di hadapan ibupejabat PAS Pusat mendesak Pengarah Pilihanraya PAS, Dr Hatta  Ramli, dipecat.
 
Mereka mendakwa bahawa Ahli Parlimen Kuala Krai itu menjadi dalang bersama empat pemimpin kanan PAS lain merancang untuk menjatuhkan presiden, Datuk Seri Haji Abul Hadi Awang.
 
Dengan yakin mereka mengedarkan kepada wartawan dalil mengapa mereka membuat tuntutan itu. Antaranya ialah cetakan maklumat perbincangan dalam internet Dr Hatta dengan beberapa pemimpin PAS mahu menggerakkan konspirasi itu. 
 
Ada pihak membaca tindakan yang agak memeranjatkan itu sebagai satu ledakan penyokong-penyokong pimpinan ulama atau 'Geng Ustaz' terhadap cabaran yang semakin lantang dan ketara yang ditunjukkan oleh golongan sekular/progresif/Anwarinas atau Erdogan dalam pimpinan PAS.
 
Peristiwa itu agak memeranjatkan pimpinan PAS, terutama Haji Hadi sendiri. Sesunguhnya adab dan akhlak yang ditunjukkan oleh ahli-ahli PAS ini, walau apapun alasannya, bukanlah tradisi PAS.
 
PAS amat prihatin soal akhlak. Sesungguhnya melondehkan masalah 'rumahtangga' menjelang mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat yang kemudian disusuli mesyuarat kontroversil Majlis Presiden Paktan Rakyat pasti mengundang liputan meluas media.
 
Lazimnya PAS lebih gemar membincangkan pertikaian dalamannya secara rahsia walaupun terhadap pemimpinnya yang dilihat mengkritik secara terbuka seperti kes bekas Naib Presidennya, Datuk Hasan Ali kira-kira tiga tahun lalu.
 
Meskipun pakar motivasi itu memang ada menggerakkan 'roadshow' untuk mendedahkan 'parasit politik' dalam PAS, reaksi yang ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin amat bersusila dan terkawal. 
 
Bagaimanapun rentetan insiden 8 Februari lalu, berlaku pula percubaan jenayah untuk membakar kereta Dr Hatta malam Sabtu lalu. 
 
Malangnya, tiba-tiba kejadian yang sudah dilaporkan kepada pihak polis itu diputar oleh pemimpin-pemimpin PAS golongan progresif untuk membabitkan pihak luar PAS.
 
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Dzulkefley Ahmad dan Abdul Khalid Samad bingkas menuduh bahawa insiden itu bukan dilakukan oleh ahli-ahli PAS dan menuding jari pada pihak luar yang cuba mengambil kesempatan daripada masalah perpaduan yang sedang dihadapi oleh parti itu.
 
"Saya yakin bukan ahli PAS terlibat, dan ia dibuat oleh pihak yang cuba mengambil kesempatan dari apa yang berlaku," kata bekas Ahli Parlimen Kuala Selangor itu.
 
Begitu juga reaksi Ahli Parlimen Shah Alam, Abdul Khalid Samad yang percaya kejadian itu adalah satu tindakan provokasi oleh musuh-musuh PAS yang cuba memburukkan lagi masalah dalaman parti itu.
 
"Apabila masalah dalaman parti diketahui umum, musuh-musuh kita akan mengeksploitasi dan membuatnya kelihatan seolah-olah ia adalah hasil daripada persengketaan dalaman," kata Khalid.
 
Demikian bukan akhlak PAS sebagai sebuah parti Islam. Sekurang-kurangnya pihak yang menuduh bahawa ada konspirasi mahu menjatuhkan presiden cukup bertanggungjawab dengan mengemukakan hujah dan bukti. 
 
Malangnya, kedua-dua pemimpin yang dikatakan aktif dengan dan agak akrab dengan golongan Erdogan itu hanya melemparkan tuduhan bahawa insiden cuba membakar kereta Dr Hatta itu dilakukan oleh terhadap pihak “luar” PAS.
 
Adakah taktik yang digunakan oleh dua pemimpin yang dikenali rapat dengan golongan Anwarinas ini bertujuan “mempertahankan keluhuran adab ahli-ahli PAS”?
 
Atau, adakah sebenarnya kenyataan mereka ini adalah satu percubaan mengalih pandangan umum yang mulai meragui keutuhan perpaduan dalam PAS kerana dikocakkan oleh golongan yang pernah dianggap “parasit” dalam itu?
 
Jika demikian mengapa mereka tidak terus sahaja menuduh golongan yang berdemonstrasi untuk mempertahankan ulama itu sebagai “bersubahat dan mungkin juga ditaja” pula oleh pihak luar PAS?
 
Hakikat bahawa ada laporan berlaku “perdebatan hangat” hingga mendorong ahli Jawatankuasa Pusat PAS meninggalkan mesyuarat pagi itu kerana tidak bersetuju dengan pendirian dan kepemimpinan presiden memberi isyarat bahawa PAS kini dilanda sindrom penafian.
 
Oleh kerana tiada penafian rasmi dibuat oleh kepimpinan PAS mengenai insiden yang tegang dalam mesyuarat itu, ia terus menyemarakkan persepsi bahawa sebenarnya tuduhan konspirasi terhadap Haji Hadi adalah sesuatu yang berasas dan digerakkan dari dalam barisan pimpinan PAS sendiri. 
 
Soal pembinaan akhlak yang luhur dan Islami adalah inti perjuangan PAS. Pemimpin agung PAS seperti Allahyarham Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak pernah berkompromi dalam isu ini. 
 
Beliau tidak segan silu atau bersikap apologetik apabila menegur ahli-ahli PAS supaya sentiasa menzahir dan menjunjung akal budi muslim yang tinggi. Soal akhlak mulia tidak boleh dijual beli atau dijadikan modal politik. 

Tiada ulasan: