Khidmat anggota Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh diperlukan untuk membawa mangsa keluar sebelum menerima rawatan di HRPB. Gambar kecil: Rawaidah. Khidmat anggota Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh diperlukan untuk membawa mangsa keluar sebelum menerima rawatan di HRPB. Gambar kecil: Rawaidah.
 
 
IPOH – “Tiga anak kami paling rapat dengan isteri, tak tahu lah macam mana mahu beritahu mereka yang ibu mereka sudah tiada buat selama-lamanya,” kata Md Zaharuddin Ismail, 33.

Menurutnya, dia kini perlu berusaha gigih untuk membesarkan tiga anak mereka, Mohamad Carl Iskandar Zafran, 6; Nur Eli Madihah Zahara, 5 dan Nur Ayu Raudhah, 2.

Mengulas lanjut, dia hanya mampu mengalirkan air mata sambil mendakap tiga anaknya ketika menerima perkhabaran sediah itu oleh birasnya di kediamannya di Kampung Teluk Murok, Lumut.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam kelmarin, hasrat isterinya, Rawaidah Mad Saad, 32, menemani ibunya, Rohani Abdullah, 62, untuk mendapatkan rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) berakhir dengan tragedi apabila ambulan dinaiki mereka bersama empat anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bertembung dengan sebuah kereta jenis Honda Accord di lampu Isyarat Bukit Kledang, Jalan Ipoh – Lumut.

Menurutnya, ibu mentuanya sebelum itu dimasukkan ke Hospital Tentera Pangkalan TLDM, Lumut selepas terbabit dalam kemalangan yang menyebabkan patah tangan dan kaki selain mengalami pendarahan di kepala.

“Ketika berkumpul di unit rawatan kecemasan, mak mentua saya perlu mendapat rawatan lanjut di HRPB menyebabkan isteri saya meminta izin untuk menemani ibunya. Dalam perjalanan, dia sempat hantar SMS (khidmat pesanan ringkas) supaya saya bawa pakaian dan keperluan dirinya,” katanya.

Jenazah dikebumikan di Tanah perkuburan Padang Tembak, Teluk Muroh, semalam.

Sementara itu, Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah, Deputi Superintendan Wan Sharuddin Wan Omar berkata, empat anggota ATM termasuk seorang doktor perubatan yang berada dalam van terbabit cedera dalam insiden itu.

Menurutnya, seorang mangsa daripada kereta Honda Accord terbabit didapati cedera parah manakala pemandunya yang berusia 26 tahun mengalami cedera ringan.

“Siasatan awal mendapati ambulan dari arah Lumut telah berlanggar Honda Accord setibanya di lampu isyarat  simpang empat Bukit Kledang menyebabkan mangsa tercampak keluar.

“Kesemua mangsa dihantar untuk mendapatkan rawatan di HRPB manakala mangsa yang maut dihantar ke Jabatan Forensik untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada waris,” katanya.

Wan Sharuddin berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.