Jumaat, 20 Februari 2015

Rogol berpunca daripada budaya jahiliyyah, tak menghormati perempuan

steven sim 1

Oleh STEVEN SIM 


Saya biasanya tidak melayan tulisan-tulisan bodoh Ridhuan Tee.

Tapi kali ini tulisan dia melampaui batas. Dia tulis tentang perempuan dan seperti biasa, dia bercakap semacam dirinya pakar segala-galanya, termasuk seksualiti perempuan. Bukankah tuan kepada otak jijik yang membuahkan pandangan menghina terhadap perempuan ini juga adalah orang yang sama didakwa terlibat dalam plagiarisme di universiti?

Sepatutnya, orang begini tidak layak jadi pendidik, dan mana-mana media masa bermaruah pun tak akan memberikan ruang rencana kepada dia.

Kali ini, dia sudah malampaui batas. Kali ini, dia menghina bukan sahaja perempuan tetapi lelaki dengan idea gobloknya tentang mangsa rogol.

“Pendedahan dan penonjolan wanita menggiurkan dan memberahikan, menjadikan lelaki terangsang untuk merogol”, kata Cina ultra kiasi bernama Tee tersebut.

Saya lelaki, dan saya kecam sekeras-kerasnya siapa-siapa yang menyalahkan mangsa rogol kerana ‘menggiurkan, memberahikan, memberangsangkan’.

Itu bukan lagi kenyataan bodoh, tetapi menghina dan tidak bermoral. Perempuan bukannya objek seksual dan lelaki bukannya lemah.

“Jika ditakdirkan ramai yang tutup aurat kena rogol. Itu sudah takdir”, kata Cina ultra kiasi itu lagi.

Tak tutup aurat kena rogol dikatakan kerana menggoda, tutup aurat kena rogol dikatakan kerana takdir. Dia menang semua. Inilah sifat ultra kiasi, orang Cina kata, ‘manusia pun dia, hantu pun dia’.

Tetapi lebih menjijikkan ialah di bahagian penutup tulisan goblok itu, Tee si ultra kiasi berkata, ramai ‘wanita bangsa saya’ kurang dirogol kerana mereka lebih terbuka dan melakukan seks secara bebas.

Apa logiknya, itupun jika otak si ultra kiasi ini masih berpaksikan hukum logik. Balik-balik rogol masalahnya si perempuan-perempuan pakai ketat, perempuan tutup aurat, perempuan ditakdirkan kena rogol, perempuan seks bebas.

Saya sudah banyak kali tulis bab ini; rogol jangan salahkan mangsa.

Rogol dan keganasan terhadap perempuan berpunca daripada suatu budaya yang melihat perempuan lebih rendah daripada lelaki, dalam situasi di mana tiada kesaksamaan gender, di mana perempuan dianggap lebih afdal jika duduk di rumah sebagai penjaga tidak bergaji, segala keputusan hidupnya ditentukan oleh atau selepas merujuk kepada si lelaki, perempuan dianggap sebagai senang dipengaruhi, lemah, boleh dibuli dan perlu “dijinakkan”.

Apa lagi yang boleh menjelaskan situasi di mana seorang anak gadis umurnya hanya 15 tahun dirogol bergilir-gilir oleh 38 orang lelaki di negeri Kelantan?

Ini bukan soal agama atau ras. Sebab rogol berlaku di mana-mana masyarakat.

Ini soal budaya yang gagal memartabatkan perempuan sebagai rakan kongsi setara dalam masyarakat.

Ini soal pandangan dunia yang gagal memahami Surah Al-Hujurat, ayat 13 di dalam Al-Quran serta ajaran kitab-kitab suci agama lain yang meletakkan perempuan setara dengan lelaki sebagai pengasas kepada umat manusia dan manusia itu mulia bukan disebabkan warna kulit (satu lagi benda yang gagal difahami oleh Tee si ultra kiasi) ataupun organ seks, tetapi taqwa.

Ini budaya yang tidak mengambil serius tentang kesihatan, keselamatan, kebajikan dan hak perempuan.

Budaya jahiliyyah ini yang mendorong lelaki dan perempuan, sama ada orang macam Tee si ultra kiasi sehinggalah para Menteri dan Ahli Parlimen mengeluarkan kenyataan seksis dan menghina.

Budaya ini yang mendorong bekas ketua Wanita MCA, Ng Yen Yen memberikan nasihat kepada para isteri supaya “pakai kena seksi agar suami tak lari”. Budaya ini menyebabkan perempuan menghadapi diskriminasi dalam pelbagai bidang.

Dan budaya sama melahirkan manusia bersifat syaitan yang memukul dan mendera perempuan, mencabul kehormatan, dan merogol. Budaya ini menyebabkan seorang perempuan menjadi mangsa rogol setiap 15 minit di negara kita. Budaya ini mengakibatkan pencabulan dan penderaan sistemik terhadap perempuan dalam komuniti terpinggir seperti Penan.

Tee si ultra kiasi, inilah sebab utama perempuan menjadi mangsa, bukan kerana dia perempuan, tetapi kerana budaya jahiliyyah yang tidak menghormati perempuan. Justeru kalau nak lawan rogol, kena hapuskan dahulu budaya ini, dukung kesaksamaan gender dan martabatkan kaum perempuan.
Apa-apapun, selamat menyambut tahun baru Cina, Tee. – Roketkini.com

Tiada ulasan: