Jumaat, 6 Februari 2015

Ramli Sarip lebih prihatin daripada legenda tanah air?




 Oleh RAYUSA 


AYAT 44, surah Hud yang bermaksud, “Wahai bumi telanlah airmu dan wahai langit hentikanlah curahan airmu” sering bermain di minda Dato’ Ramli Sarip di sepanjang perjalanan ke Kuala Krai, Kelantan.

Setibanya di Kampung Era dan melihat keadaan kampung yang teruk dilanda banjir, Ramli teringat ketika beliau melawat Melauboh, Aceh lebih 10 tahun lalu ketika Aceh dilanda tsunami dalam misi membantu mangsa tragedi itu bersama Mercy Relief, Singapura.

Dalam kunjungan ke Kuala Krai, Ramli bersama rombongan Kumpulan AmBank untuk misi bantuan mangsa banjir. Beliau mengiringi pengerusi Kumpulan AmBank, Tan Sri Azman Hashim menghulurkan bantuan kepada penduduk dua kampung di Kuala Krai bersama pegawai dan sukarelawan AmBank.

Semasa di sana Ramli mendapat ilham mengadakan sebuah konsert untuk mengutip dana pembangunan pasca banjir.

Justeru, lahirlah Konsert Doa Langit dan Bumi dengan semua Ramli Sarip lebih prihatin daripada legenda tanah air? hasil penjualan tiketnya akan mengisi tabung pembangunan pasca banjir di bawah kelolaan Kumpulan AmBank.

Perbincangan dengan Azman dan ketua pegawai eksekutif PWTC, Dato’ Maxson Abdullah amat memberi semangat kepada Ramli kerana kedua-dua individu tersebut terus menyatakan persetujuan untuk membantu tanpa ragu-ragu.

Kumpulan AmBank akan menaja kos produksi, pemasaran dan promosi, sementara PWTC membiayai kos tempat acara, serta makan minum artis dan pasukan produksi konsert tersebut.

Beberapa syarikat bumiputera turut membantu seperti Marhaen Productions Sdn Bhd yang menyumbang pembikinan kemeja-T khas untuk konsert, Paravue Sdn Bhd, Warisan Sound, Mewah Event, dan Gua Orang Lama.

Konsert Doa Langit dan Bumi akan berlangsung pada jam 2.30 petang, 22 Februari depan di Dewan Merdeka, PWTC. Selain Ramli sebagai artis utama, Dato’ M Nasir, Dato’ Hattan, Awie dan Ella akan turut membuat persembahan.

Harga tiket bagi konsert anjuran bersama Kumpulan AmBank, Rasamusic Sdn Bhd dan PWTC itu ialah RM153 dan telah mula dijual. Persembahan selama dua jam setengah itu juga akan disiarkan secara langsung oleh NTV7.

Antara pemuzik tanah air yang akan mengiringi persembahan konsert berkenaan termasuklah Man Kidal (gitar I), Aji Samin (gitar II), Tom Anuar (dram), Fauzie Zain (bass), Rozario Rasul (keyboard I), Uda (keyboard II/biola/akordian), Paang (perkusi I), dan Boy Razli (seruling/gambus).

Pada 20 Januari lalu telah diadakan sidang media Konsert Doa Langit dan Bumi di Tanjung Lounge, PWTC. Selain Ramli, Nasir dan Hattan, serta Maxson, turut hadir ialah timbalan kanan presiden/ketua kumpulan pemasaran & komunikasi korporat Kumpulan AmBank, Syed Anuar Syed Ali, serta beberapa pemuzik pengiring.

Awie dan Ella tidak dapat hadir. Menurut Ramli yang juga pengarah Rasamusic Sdn Bhd, beliau gembira dapat bergabung dengan penyanyi legenda Malaysia yang langsung tidak bertanya soal bayaran.

Mengenai persoalan jika ada artis lain yang mahu ikut serta, Ramli menjelaskan mereka amat dialu-alukan untuk membeli tiket dan menonton.

Katanya, kurang sesuai terlalu ramai artis membuat persembahan kerana itu akan mencelarukan konsep.

Jelas Ramli, Konsert Doa Langit dan Bumi tidak bernada sedih walaupun mengenang mangsa banjir, sebaliknya serius dan menaikkan semangat dengan nyanyian lagu-lagu mengenai kehidupan dan ketuhanan. Sementelah beliau, Nasir dan Hattan sinonim dengan lagu-lagu sedemikian.

Memang lagu-lagu kemanusiaan bersesuaian dengan konsert tersebut.

Bagaimanapun, tambah Ramli, untuk memenuhi selera penonton dan menarik minat, beberapa lagu popular mereka akan turut didendangkan.

Walaupun corak persembahan masih belum pasti, Ramli memberitahu beliau akan menyanyi lebih banyak lagu berbanding penyanyi undangan.

Setiap penyanyi undangan dirancang menyanyikan tiga lagu masing-masing dan berduet sebuah lagu dengan Ramli.

Nasir memberitahu beliau terus bersetuju ketika dihubungi oleh Ramli kerana konsert tersebut amat baik. Hattan yang memang merancang mengadakan konsert sendiri di Seremban juga tidak banyak soal.

Demikian juga dengan Awie dan Ella.

Menurut Ramli, konsert sedemikian akan diteruskan kerana ia bertujuan mengutip dana untuk pembangunan pasca banjir. Banjir juga sedang melanda Sabah dan Sarawak. Apabila tragedi itu berakhir, tentu akan ada pembangunan semula yang memerlukan dana.

Bagaimanapun, seperkara yang seperti tidak disedari ialah hakikat Ramli bukan penyanyi Malaysia. Beliau masih warganegara Singapura.

Ilhamnya amat baik. Namun, mengapa idea tersebut tidak datang daripada seniman atau artis Malaysia?

Adakah Ramli lebih prihatin dan berkemampuan daripada penyanyi negara kita? Hal ini agak memalukan.

Tiada ulasan: