SURABAYA: Penantian keluarga rakyat Malaysia yang terbabit dalam
insiden AirAsia QZ8501 pada 28 Dis tahun lepas berakhir, apabila mayat
Sii Chung Huei diterbangkan ke Kuching, Sarawak pada Rabu.
Mayat Sii dibawa berlepas dengan pesawat C-130 penerbangan ihsan
Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari Landasan Udara Angkatan Laut
(Lanudal) Tentera Nasional Indonesia di Juanda pada 10.40 pagi tadi.
Turut menaiki pesawat itu isteri Sii, Wong Muk Ngiik bersama dua
anaknya serta beberapa anggota keluarga lain dan diiringi seorang
pegawai dari Kedutaan Malaysia di Indonesia.
Duta Besar Malaysia di Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim
berkata, mayat Sii ditemui pada 5 Feb dan dikenal pasti menerusi ujian
DNA dua hari lepas sebelum diserahkan kepada warisnya.
Katanya, Wong datang semula ke Surabaya pada 6 Feb sebaik sahaja
mendapat tahu pihak berkuasa Indonesia telah menemui beberapa lagi
mayat.
Wong dan beberapa anggota keluarganya sebelum itu berada di Surabaya
selama lebih sebulan sejak hari kejadian pada 28 Dis tahun lepas untuk
menunggu pencarian mayat suaminya.
"Kami berterima kasih kepada TUDM dan AirAsia yang telah banyak
membantu bagi memudahkan kerja-kerja menguruskan dan menyerahkan jenazah
kepada waris Sii serta membawa mayat dan waris ke Kuching di Sarawak,"
kata Zahrain kepada pemberita di sini, Rabu.
Turut hadir mengiringi mayat mendiang di Lanudal ialah isteri Zahrain, Datin Seri Che Mahani Ismail.
Sii, 56, seorang ahli perniagaan berasal dari Kuching dan berpangkalan
di Jakarta merupakan rakyat Malaysia tunggal yang berada dalam pesawat
malang yang terhempas sejurus berlepas dari Surabaya ke Singapura pada
pagi 28 Dis lepas.
Pesawat itu membawa 162 orang dan setakat ini sebanyak 102 mayat
ditemui dan pihak berkuasa juga menemui kotak hitam pesawat itu dua
minggu lepas.
Operasi mencari mayat masih diteruskan oleh Badan SAR Nasional (Basarnas).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan