Khamis, 5 Februari 2015

P'raya PBT: Sarjana kata tak perlu

PROF MADYA DATUK DR MOHAMMAD AGUS YUSOFF 


Isu pilihan raya kerajaan tempatan ini bermula pada 8 Mac 2010 apabila ketua menteri Pulau Pinang menulis surat kepada pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi kuasa kepada badan itu untuk mengadakan pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

SPR kemudiannya menjawab tidak mempunyai kuasa tersebut kerana bertentangan dengan Seksyen 15 Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang memansuhkan hak badan perundangan negeri untuk mengadakan pemilihan kerajaan tempatan di negeri-negeri.

Tidak puas hati dengan jawapan tersebut, pada 11 Mac 2013, kerajaan Pulau Pinang kemudiannya memfailkan satu permohonan di Mahkamah Persekutuan untuk mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan bagi Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng (atas) berkata, permohonan itu selaras dengan Artikel 113(4) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kerajaan negeri memberi kuasa kepada SPR untuk menjalankan pilihan raya selain daripada pilihan raya umum (PRU).

Bagaimanapun, pada 14 Ogos 2014 Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kerajaan negeri atas alasan “kerajaan negeri Pulau Pinang telah melampaui bidang kuasanya dalam membuat perintah pengecualian itu yang melanggari peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.”

6 alasan DAP

Apa seterusnya selepas keputusan Mahkamah Persekutuan?

Setelah penolakan oleh Mahkamah Persekutuan ini, DAP bersama dengan PKR berkempen supaya rakyat menyokong pilihan raya PBT ini.

Alasan mereka ialah:

(i) Untuk memulihkan sistem demokrasi negara kita dengan memberi hak undi ketiga kepada penduduk tempatan memilih ahli majlis masing-masing.

(ii) Pemimpin PBT yang dipilih lebih berakauntabiliti dalam perkhidmatan mereka kepada rakyat

(iii) dengan adanya ahli majlis yang dipilih, maka projek PBT akan menjadi lebih prorakyat berbanding kini yang propemaju.

(iv) PBT akan lebih bersifat proaktif dengan bertindak cepat terhadap aduan rakyat tempatan.

(v) Untuk mengatasi masalah sosial seperti pusat-pusat hiburan, PATI dan jenayah kerana ahli-ahli majlis akan lebih bersungguh memantau hal ini.

(vi) Membolehkan rakyat tempatan memilih datuk bandar yang bertanggungjawab dalam urusan yang berkaitan rapat dengan kehidupan rakyat tempatan.

Tumpu kemudahan asas dulu

Kempen untuk menghidupkan semula pilihan raya tempatan ini tidak salah. Itu semangat demokrasi yang dibenarkan.

Tetapi pada saya, pilihan raya tempatan ini tidak perlu sama sekali, sekurang-kurangnya pada waktu ini.

Hujah saya mudah:

(i) Kerajaan negeri fokuslah dahulu kepada usaha untuk memperbaiki mutu perkhidmatan dan kemudahan asas kepada masyarakat tempatan.

(ii) Tingkatkan dulu urus tadbir yang baik dan sistem penyampaian dalam PBT. Macam sekarang, minta kelulusan plan untuk ubah suai rumah pun, terpaksa tunggu sampai berbulan-bulan .

(iii) Tingkatkan dulu pendapatan PBT supaya mempunyai kewangan yang mencukupi sebelum pilihan raya tempatan dilaksanakan. Jika tidak, nantinya kerja PBT adalah menaikkan kadar cukai PBT sahaja .

(iv) Dalam keadaan suasana politik dan ekonomi negara sekarang, tidak sesuai untuk kita berpolitik sepanjang masa. Masih ada perkara-perkara lain yang memerlukan keutamaan kita.

Dari segi undang-undang, bolehkah pilihan raya tempatan diadakan?

Mengikut undang-undang, tidak boleh. Ini kerana aspek perundangan bagi pilihan raya kerajaan tempatan di bawah Akta Pilihan Raya Kerajaan Tempatan 1960 telah dimansuhkan di bawah Seksyen 15 (1) Akta Kerajaan Tempatan 1976. Mahkamah Persekutuan pun telah memutuskan sama ada SPR ataupun negeri tidak ada kuasa untuk mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan.

Jadi, bagaimana jika kita mahukan juga pilihan raya PBT ini diadakan?

Bawa rang undang-undang ke parlimen sama ada rang undang-undang kerajaan atau persendirian untuk meminda peruntukan Seksyen 15 Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang telah merampas hak rakyat untuk memilih ahli majlis tempatan dan Datuk Bandar atau yang dipertua majlis melalui proses demokrasi.

Sepatutnya begitulah sistem demokrasi negara kita berjalan. Hormati undang-undang dan kita semua berada di atas landasan yang betul dalam berpolitik.


PROF MADYA DATUK DR MOHAMMAD AGUS YUSOFF berkhidmat di Fakulti Kemanusiaan dan Sains Sosial Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Artikel ini disiarkan kali pertama di Facebook beliau pagi ini.
 

Tiada ulasan: