Fariz Musa
 
 

SHAH ALAM - Ketua Koordionator Jingga 13, Fariz Musa menegaskan beliau tidak akan tunduk kepada sebarang tekanan untuk menunjukkan solidaritinya terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa menjadi tahanan politik.

Beliau berkata tindakan pihak polis yang menahannya bersama aktivis anak muda, Adam Adli ketika berhimpun secara aman di hadapan pusat beli-belah Sogo semalam membuktikan wujud desakan untuk mengekang kebangkitan rakyat.

"Saya ingin nyatakan pendirian untuk tidak akan tunduk terhadap apa jua tekanan dan akan terus bangkit bagi menegakkan kebenaran dan menentang kezaliman ke atas Datuk Seri Anwar dan rakyat Malaysia," katanya dalam satu kenyataannya, hari ini.

Terdahulu beliau dan Adam dibebaskan dari pusat tahanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jinjang, Kuala Lumpur kira-kira jam 11.15 pagi selepas ditahan semalaman dan disiasat di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan.

Berita pembebasan dua pemimpin itu dikongsi Fariz di akaun Twitternya pagi tadi dengan memuat naik sekeping gambar beliau bersama Adam menunjukkan tanda bagus.

Semalam, Fariz dan Adam ditahan sewaktu menghadiri perhimpunan 'Kita Lawan' di hadapan Pusat Beli-belah Sogo di ibu negara.

Himpunan itu diadakan sebagai tanda solidariti untuk pembebasan ketua pembangkang itu yang didakwa menjadi tahanan politik dalam kes liwat II.