Sabtu, 7 Februari 2015

Pemimpin Umno dapat projek terbengkalai IPK Johor

Oleh Azuan Ab Rahman


KUALA LUMPUR: Pemimpin Umno kawasan Ampang, Datuk Zamri Rahmat dinamakan sebagai individu yang dikaitkan dengan pembinaan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor yang terbengkalai.

Pendedahan itu dibuat oleh Pengarah Strategi Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pusat, Akmal Nasir dan Timbalan Pengerusi KEADILAN Johor, Jimmy Puah pada sidang media di ibu pejabat parti di Petaling Jaya hari ini.

“Berdasarkan jawapan dalam persidangan DUN (Dewan Undangan Negeri) Johor sesi Jun 2014, projek pembinaan IPK Johor telah dianugerahkan kepada syarikat Global Globe (M) Sdn Bhd yang berpangkalan di Ampang pada tahun 2010.

“Carian kami menunjukkan bahawa individu yang berperanan utama adalah Datuk Zamri Rahmat iaitu Pengarah Eksekutif dan juga pemegang saham terbesar syarikat.

“Beliau merupakan pimpinan Umno di kawasan Ampang dan berkempen secara aktif sewaktu Pilihan Raya Umum ke-12 dan ke-13 lalu,” jelasnya pada kenyataan.

Pengarah Strategi AMK, Akmal Nasir (kanan) dan Adun Bukit Batu, Jimmy Puah, di tapak pembinaan IPK Johor yang terbengkalai sejak 18 bulan lalu.
Pengarah Strategi AMK, Akmal Nasir (kanan) dan Adun Bukit Batu, Jimmy Puah, di tapak pembinaan IPK Johor yang terbengkalai sejak 18 bulan lalu.

Minggu lalu, Puah dan Akmal menggesa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi penjelasan berhubung projek tersebut yang terbengkalai sejak lima tahun lepas.

Zahid didesak untuk tampil menamakan kontraktor bertanggungjawab dan kriteria pemilihan mereka untuk projek berkenaan.

Justeru jelas mereka, Zahid yang merupakan menteri di KDN selaku pemilik projek seharusnya bertanggungjawab menerangkan apakah langkah-langkah yang diambil untuk menyiapkan projek tersebut.

Malah menurut mereka lagi, Zahid perlu memberikan penjelasan bagaimana proses tender dilaksanakan dan bagaimana syarikat berkenaan dianugerahkan kontrak utama.

Global Globe (M) Sdn Bhd turut didakwa telah menerima bayaran sebanyak RM46,123,409.00 sebelum pembinaan IPK Johor terhenti dan diisytiharkan terbengkalai selain didenda sebanyak RM2,836,417.65 sebelum kontrak mereka ditamatkan.

“Selain kontrak ditamatkan, adakah Global Globe (M) Sdn Bhd telah membayar denda yang dikenakan? Adakah kerajaan telah mengambil tindakan undang-undang sivil untuk menuntut balik ganti rugi atas kegagalan syarikat itu menyempurnakan kontrak tersebut.

“Dan sekiranya ya, (nyatakan) status terkini dan sekiranya tidak – mengapa tidak, memandangkan kontrak ditamatkan hampir setahun?” soal mereka.

Sementara itu, Keadilan Daily menerusi carian internet mendapati, Global Globe (M) Sdn Bhd, mengikut portal rasminya, beroperasi di Taman Melawati, Kuala Lumpur dan Datuk Zamri Rahmat dinyatakan sebagai Pengerusi Eksekutif Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif  Kumpulan.

Tiada ulasan: