Jumaat, 13 Februari 2015

Pakatan Rakyat kehilangan ayam tambatan: bak kata pepatah Melayu, mati ayam mati tungau



Akhirnya terjawab juga dalam isu sodomi2 Anwar Ibrahim setelah Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara 5 tahun untuk Anwar. Kita menerima keputusan itu dan tidak perlu membuat pengadilan dijalanraya atau dikedai kopi atau dimana-mana.

Sejak beberapa lama pihak pembangkang telah berusaha untuk memberikan persepsi yang apa sahaja keputusan mahkamah yang tidak memihak kepada mereka itu adalah tandanya bidang Badan Kehakiman tidak bebas dan adil. Badan Kehakiman hanya dianggap membuat keputusan tepat jika penghakimannya tidak menyebelahi pihak kerajaan.

Bagi kumpulan ini Mahkamah hanya untuk memenangi penghakiman untuk mereka sahaja dan selain dari itu setiap penghakiman itu tidak adil dan tidak bebas. Dalam isu sodomi2 ini, pihak pembangkang sedaya upayanya mahukan perbicaraan itu diyakini ramai sebagai satu perbicaraan yang akan membuktikan ada konspirasi politik terhadap Ketua Pembangkang itu. Tetapi tidak pernah mereka berjaya memberikan bukti yang itu adalah satu konspirasi politik.

Petang semalam Anwar telah dihantar ke penjara Sungai Buluh untuk menjalankan hukuman keatasnya dan ini merupakan kali kedua Anwar dihantar ke sana. Kita bukannya suka beliau dihantar kesana tetapi bukan kita yang menghantar beliau ke penjara tetapi beliau sendiri yang menghantar dirinya ke sana.

Malahan saya juga tidak bersama dengan pandangan setengah pihak yang gembira diatas pemergian Anwar ke Sungai Buluh dan membuat andaian yang itu merupakan penamat kepada politik Anwar. Mereka berpendapat setelah beliau keluar dari penjara nanti, beliau akan berumur 71 tahun dan setelah dicampur dengan ‘moratorium’ politik selama 5 tahun lagi umurnya sudah mencapai 76 tahun, dan terlalu tua untuk meneruskan karier politik beliau.

Dalam politik tidak ada tua atau muda. Saya pernah memberikan pandangan yang tua itu adalah organ-organ yang ada di dalam diri kita. Ada yang berumur lebih dari tujuh puluh tahun lebih muda dari setengah orang yang berumur enam puluh tahun. Bagaimana hendak mengatakan seorang yang berumur enam puluh tahun itu lebih muda dari yang berumur tujuh puluh tahun jika banyak organ-organ di dalam tubuhnya itu sudah tua dan tidak berfungsi dengan baik seperti yang berumur tujuh puluh tahun yang mempunyai semua organ-organ dalam dirinya masih baik dan sihat?

Ramai di antara mereka yang berumur enam puluh tahun sudah menghidapi penyakit kencing manis, darah tinggi, lemah jantung dan tidak berdaya untuk berjalan dengan baik? Sedangkan yang berumur lebih dari tujuh puluh tahun itu masih mempunyai set gigi yang penuh dan semua organnya terutamanya otaknya masih berfungsi dengan penuh dan masih boleh berenang 20 lap dan lebih setiap hari?

Saya sudah tidak boleh berenang walaupun dua lap sejak saya berumur 50 tahun lagi sedangkan ada yang masih boleh berenang lebih dari 20 lap sehari walaupun umur mereka sudah berusia tujuh puluh tahun. Tentulah saya lebih tua dari mereka yang berumur 70 tahun itu kerana saya sudah tidak berdaya untuk berenang walau pun dua lap semasa berenang.

Ramai yang mengatakan orang lain tua sedangkan mereka sendiri mempunyai masalah kesihatan yang jauh lebih buruk dari mereka yang di katakannya sudah tua itu. Oleh itu saya tidak setuju dengan pandangan yang perginya Anwar ke penjara Sungai Buluh semalam merupakan penamat kepada karier politik beliau kerana beliau akan melebihi 75 tahun apabila beliau dibenarkan untuk kembali memegang jawatan dalam partinya dan bergiat kembali untuk mencapai cita-citanya.

Sudah puluhan tahun saya tidak berjumpa dengan Anwar tetapi saya difahamkan beliau adalah sihat walafiat dari segi kesihatan dan jika beliau mampu untuk mempertahankan kesihatannya seperti sekarang, saya tidak nampak kenapa beliau tidak boleh bergiat setelah berumur melebihi 75 tahun nanti.

Dr Mahathir sudah berumur 90 tahun tetapi beliau masih aktif mengkritik kerajaan dan menolak parti pembangkang. Beliau masih berpolitik dan tidak tahu bila beliau akan berhenti berpolitik. Walaupun beliau sudah berusia 90 tahun tetapi beliau lebih muda dari mereka yang enam puluh tahun yang tidak henti-henti masuk hospital kerana masalah kesihatan.

Dr Mahathir masih boleh mengkritik kelemahan pemimpin negara walaupun kritikan beliau itu seolah-olah mengkritik diri beliau sendiri kerana pemimpin-pemimpin yang beliau kritik itu adalah yang beliau bentuk sendiri. Jika masakan kita tidak sedap kita tidak boleh mengkritik masakan itu, kerana masakan itu tidak sedap kerana kesalahan cara kita memasak.
 
Apa pun, umur Dr Mahathir yang sudah mencapai 90 tahun itu masih boleh berpolitik kerana organ-organ dalam tubuh beliau masih cergas dan berfungsi dengan baik. Jika Anwar keluar dari penjara dan masih baik semua organnya, maka tidak ada masalah bagi beliau untuk bergiat kembali dalam politik secara aktif.

Pendeknya yang tua atau muda itu bukannya angka usia yang ada bersama seseorang itu, sebaliknya ialah samada organ-organ tubuh mereka itu masih berfungsi dengan baik atau tidak.

Jangan terlalu cepat membuat andaian ‘conclusive’ yang Anwar tidak akan ada lagi hayat politiknya apabila dia sudah dibenarkan oleh undang-undang untuk kembali aktif dan bergiat. Ia bergantung kepada keadaan organ-organnya, khususnya tahap kesihatan dan kemampuan otak beliau untuk berfungsi.

Masalah yang dihadapi oleh Pakatan Rakyat dalam jangka pendek ini ialah, siapa yang akan mengetuai persepakatan yang longgar dalam Pakatan sekarang ini. Mahu tidak mahu kita harus mengakui hakikat yang PR dalam keadaan yang paling lemah dengan ketiadaan Anwar Ibrahim sekarang ini.

Jika dilihat sekeliling nama yang ada hanyalah Azmin Ali tetapi Azmin tidak sesuai dengan keadaan sekarang ini kerana beliau walaupun mempunyai kekuatan grassroots dalam PKR tetapi beliau merupakan seorang novis dalam hal membentuk dan membangunkan persepakatan yang sangat penting untuk menghadapi ‘the mighty UMNO’ yang mempunyai semua 'instruments' kerajaan sekarang ini.

Bagi blog ini, pandangan sebegini sudah lama dinyatakan secara terbuka dan sekarang ternyata keadaan Pakatan sekarang ibarat kata perpatah, ‘mati ayam mati tungau’.

Jalan yang telah disarankan oleh blog ini begitu lama dahulu ialah dengan membentuk sebuah kerajaan dan negara yang baru, berlandaskan kepada situasi dan kepimpinan yang baru tanpa mengira parti, asalkan sahaja negara ini dipimpin oleh seorang melayu yang berwibawa dan dihormati semua kaum dan pihak.

Penyelesaian secara begini bukannya tidak pernah berlaku. Ia telah berlaku semasa Tunku membentuk persepakatan di antara semua kaum melalui parti-parti yang mewakili semua kaum dan sekali lagi ia berlaku penjenamaan baru politik Malaysia dilakukan oleh Tun Razak Hussin pada 1974 yang lalu.

Perlu ada seorang yang mampu membawa semua pihak ke meja rundingan yang melibatkan semua kaum dan pihak untuk membentuk politik yang baru dalam ‘ambience’ yang baru dan meninggalkan situasi yang sudah sangat menjemukan rakyat sekarang ini.

Politik yang diperlukan sekarang ialah politik perpaduan dan bukannya politik menuding jari dan memaki hamun di antara satu pihak dengan pihak yang lain. Politik serang menyerang sekarang ini tidak memberikan kemenangan kepada sesiapa sebaliknya semuanya akan tewas dan kecewa.

Tiada ulasan: