Oleh MAHDZIR IBRAHIM
Selepas PRU 13 yang lalu, Najib sebagai Perdana Menteri Malaysia, secara terbuka menyalahkan rakyat Malaysia berketurunan Cina atas kegagalan BN meraih dua pertiga majoriti di Parlimen.
Hingga slogan ‘ Apa Lagi Cina Mahu ‘ dan ‘ Tsunami Cina ‘ seakan-akan menjadi dasar politik baru beliau.
Najib mengabaikan fakta bahawa perubahan yang dilakukan ini bukan berkaitan dengan bangsa, tetapi demografi kawasan setempat iaitu kawasan bandar dan separuh bandar yang terdiri daripada Melayu menengah dan pelbagai kaum.
Malah undi popular Pakatan Ralyat juga buat pertama kalinya dalam sejarah meningkat hingga 52 peratus, hasil perubahan sikap pengundi bandar dan separuh bandar.
Bagi Najib, fakta ini tak penting. Yang penting mesej pecah perintah itu disebarkan.
Tak cukup dengan itu, semalam seorang Menterinya, Dato Seri Ismail Sabri yang menjaga hal ehwal Pertanian dan Industri Asas Tani menyalahkan peniaga berketurunan Cina dalam hal harga barangan melambung tinggi. Seolah-olah, peniaga berketurunan Cina sengaja mensabotaj ekonomi negara.
Rasional yang beliau berikan sangat mudah, iaitu majoriti pengguna adalah Melayu yang bergantung kepada peniaga Cina.
Kita boleh memahami memang ada segelintir peniaga yang sengaja mengambil kesempatan itu, namun bukan semua peniaga Cina begitu dan bukan hanya peniaga Cina yang berbuat begitu.
Baru-baru ini dilaporkan tentang Pasar Borong Selangor di Seri Kembangan yang dikuasai peniaga asing, dan laporan sama menyatakan wujud di Air Hitam, Johor, peniaga dari Pakistan, Myanmar dan lain-lain yang kini dilihat mengambil kesempatan.
Dengan mengatakan peniaga Cina sahaja yang menguasai bidang peruncitan juga tidak benar, kerana terdapat lebih dari 500 buah cawangan pasar tani di seluruh negara yang mana lebih 90 peratus daripdanya adalah peniaga dan pembekal berketurunan Melayu.
Malah Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) juga mempunyai hampir 50 buah pasar untuk menjual hasil laut, tidak termasuk premis Mydin dan Kedai Rakyat 1Malaysia dengan 27 premis sedia ada dan penambahan 85 buah lagi cawangan diseluruh Malaysia yang turut menjual barangan runcit.
Jadi, apakah ‘locus standi’ Ismail Sabri menyasarkan peniaga Cina sahaja? Tidak lain dan tidak bukan, ingin mengalih perhatian rakyat daripada kelemahan kerajaan mengurus ekonomi sambil melaksana agenda pecah dan perintah.
(*) Mahdzir Ibrahim adalah Ahli Jawatankuasa DAPSY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan