* MASIH serak suara dan pedih perut kerana setiap hari makan limau Mandarin, saya mengucapkan Gong Xi Fa Cai kepada seluruh sahabat handai kaum Cina, sambil berharap Tahun Kambing membawa kebahagiaan dan kemakmuran kepada semua.

Teringat saya zaman kanak-kanak di kampung lebih setengah abad lalu, raya Cina saya raikan bersama kawan-kawan berbilang kaum. Budak-budak Melayu dan India berkunjung ke rumah kawan-kawan Cina.

Kita minum oren, makan kuaci Cap Helang dan sama-sama main mercun. Ada tarian naga yang walaupun bising ‘dong-dong-ceng’ tetapi memeriahkan seluruh pekan.

Paling saya suka ialah sampul merah @ ang pau yang diterima dari setiap rumah yang dikunjungi, cepat-cepat membuka sampul dan dapat 20 sen, 10 sen, 5 sen. Waktu itu 20 sen amat besar nilainya. Kumpul-kumpul boleh dapat RM2, cukup lumayan.

Walaupun berbeza adat, agama dan warna kulit, waktu itu kita berkawan rapat. Tidak ada tersinggung, tidak ada menyinggung. Berbeza betul keadaan hari ini, kehidupan kaum-kaum sudah diasingkan. Silap sikit sahaja akan dianggap rasis. Boleh kena saman.

Maka berharap benar saya semangat setia kawan – tanpa mengira kaum – seperti dulu-dulu wujud semula – secara natural, bukan secara politik – di negara tercinta ini. Barulah boleh menjerit: Kitalah Malaysia!

*SUDAH menjadi semacam budaya di tempat kita, musim perayaan selalu dikaitkan dengan kemalangan dan kesalahan jalan raya. Ops Selamat masih melihat angka-angka kemalangan dan saman trafik.

Ketika rencana ini ditulis petang sambutan Tahun Kambing – setelah lima hari Ops – perangkaan PDRM menunjukkan 87,350 saman trafik telah dikeluarkan, antaranya kerana memandu laju, memotong barisan, melalui lorong kecemasan dan melanggar lampu merah. Sebanyak 85 kematian telah direkodkan dalam masa lima hari, paling ramai penunggang motosikal (55), kereta (18), pejalan kaki (5), basikal (3), lain-lain (4).

Waktu pulang dari kampung selepas Gong Xi Fa Cai, jumlah kemalangan pasti akan meningkat lagi; bilangan saman trafik pun akan lebih panjang. Orang kita tidak takut mati dan memandu mengikut hati. Meski dikenakan denda tunai RM300, pemandu kita tidak pernah serik melakukan kesalahan. Budaya ini tidak baik untuk Malaysia.

*ADA desakan supaya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan menggempur kilang atau syarikat pemborong yang enggan menurunkan harga barangan keluaran mereka.

Desakan itu dibuat secara bersama oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), pasar raya terkenal Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin) dan My Hero Hypermarket, Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia, Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di dalam Perkhidmatan Awam, Persatuan Pemborong dan Peruncit Muslim Malaysia dan beberapa pertubuhan lain.

Menurut menterinya, Datuk Seri Hasan Malek pihaknya akan bertindak sekiranya ada aduan dan laporan daripada pengguna atau peniaga kecil. Katanya: “Kita akan menyiasat terlebih dahulu laporan yang dibuat dan mengambil tindakan berdasarkan undang-undang. Kita tak boleh suka-suka gempur.”

Saya setuju sekiranya ada aduan barulah kementerian akan siasat. Tetapi janganlah terlalu lama siasat, sebab ini bukan kes bunuh atau kes rasuah yang perlu siasat lama-lama. Dalam kes naik harga turun harga pergi sahaja ke kilang atau syarikat pemborong, terus diketahui keadaan sebenar.

*ADALAH jelas pengilang dan pemborong macam tidak peka dan terus mengekalkan barangan dan perkhidmatan pada harga lama, padahal harga bahan bakar telah berkali-kali diturunkan. Kalau pengilang dan pemborong tidak turunkan harga, bagaimana peruncit hendak turunkan harga.

Seperti yang diakui Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin, daripada 2,500 pembekal barangan kepada Pasaraya Mydin, hanya tiga pembekal memaklumkan akan menurunkan harga barangan mereka, iaitu Colgate-Palmolive Marketing Sdn Bhd (penurunan 6 peratus), L’Oreal Malaysia Sdn Bhd (6 hingga 10 peratus) dan Wipro Unza (Malaysia) Sdn Bhd (3 hingga lima peratus).

Menurutnya keengganan majoriti pembekal menurunkan harga barang dipercayai akibat kewujudan banyak kartel di peringkat pengeluar dan pengilang yang berpakat untuk tidak menurunkan harga barang. Mungkin Menteri Pertanian & Industri Asas Tani,
Datuk Seri Ismail Sabri boleh mengatasi masalah ini menerusi ‘jihad memerangi orang tengah.’

*AKHIR kalam, penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil Dun Chempaka di Kelantan ialah pada 10 Mac, sementara mengundi 22 Mac. Kalau tiada pertandingan lagi bagus, tidak perlu kempen-kempen, tidak perlu keluar duit. Kalau ada pertandingan pun tidak mengapa, boleh jual surat khabar!