Jumaat, 6 Februari 2015

Mengapa kaitkan pondok dengan keganasan?



Oleh Zulkifli Yahaya


 PASCA peristiwa 11 September 2001, kumpulan Islam yang dikaitkan dengan “keganasan” diperangi habishabisan oleh sekutu Barat yang dipimpin oleh Amerika Syarikat.

Semua kumpulan Islam yang berjuang menggunakan senjata secara automatik dimasukkan dalam senarai pengganas, lalu cuba dihapuskan. Institusi pengajian Islam yang diba ngunkan secara tradisional di seluruh dunia adalah antara yang mendapat perhatian Barat untuk dihapuskan.

Oleh kerana di kebanyakan negara Islam, institusi pengajian Islam tradisional ini tidak dapat dipisahkan dari masyarakat umum, maka ia menjadi kesukaran kepada pihak Barat untuk bertindak.

Jalan terbaik Barat ialah mengarahkan bidak-bidak catur mereka, iaitu para pemimpin sekular yang memerintah negara umat Islam itu untuk bertindak.

Selepas peristiwa 11 September juga, Pakistan selaku sebuah negara yang terletak bersempadan dengan negara yang dianggap kubu al-Qaeda menerima tekanan dari Amerika. Kerajaan Pakistan terpaksa akur dengan kehendak Barat, menggeledah pusat pengajian Islam di sana dan menangkap para pelajar asing.

Ada yang terpaksa melarikan diri pulang ke tanah air, sekalipun pemergian mereka ke Pakistan hanya untuk belajar agama dan bukan pergi berperang. Pulang ke tanahair pun tidak selamat, kerana kerajaan yang memerintah tetap kerajaan sekular.

Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi bertanggungjawab mengarahkan penahanan 13 orang pelajar Malaysia yang baru pulang dari Pakistan dipercayai menurut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Ia berlaku dua tahun selepas peristiwa 11 September.

Di Malaysia, tiada dalam catatan sejarah bahawa pusatpusat pengajian Islam yang diasas dan berkembang secara tradisional (pondok) merupakan pusat kegiatan pengganas. Namun agak mengejutkan apabila tiba-tiba Pengerusi Yayasan Pondok 1 Malaysia, Dato’ Dr Mashitah Ibrahim telah mengeluar kenyataan perlunya ada undang-undang untuk mengawal pergerakan pondok yang dikatakan berpotensi menghasilkan pengganas militan.

Beliau juga menyatakan tidak ada undang-undang tegas termasuk di bawah kerajaan negeri untuk mengawal pergerakan pondok yang banyak diwujudkan tetapi ada kalanya untuk kepentingan peribadi. Kata beliau juga ada pihak yang cuba mendekati warga pondok bagi menarik mereka menganggotai pasukan “jihad” yang dibimbangi boleh mempengaruhi mereka bagi menyertai pergerakan ala militan.

Menurut Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kedah, Ustaz Tarmizi Sulaiman, apa yang dituduh oleh Dr Mashitah ini adalah fitnah yang sangat besar, yang beliau sendiri tidak boleh mengemukakan bukti dengan cara yang lengkap.

“Kerajaan BN yang tunduk taat dengan White House sanggup bermatian melanggar sesiapa sahaja atas nama militan tetapi dalam masa yang sama senyap dan lembab menghadapi isu penggaNOTA nas di Sulu, lembab apabila berhadapan dengan kongsi gelab yang secara turun temurun mengganas dalam negara kita.

“Dengan berkempen senada dengan White House, kerajaan BN boleh melabel sesiapa sahaja sebagai militan termasuk anak-anak Melayu Islam di pondok-pondok,” bidas Tarmizi.

Sekolah pondok adalah satu satu sistem pendidikan tradisional yang banyak terdapat di Malaysia dan Indonesia (dikenali sebagai pesantren). Sistem pendidikan ini berfokuskan Islam dan biasanya mempunyai tempat menginap – dahulunya ala kadar dan sekarang agak moden. Sistem pondok yang diamalkan ini tiada had usia dan tidak mengira latar belakang sesiapa. Sesiapa sahaja boleh datang pada bila-bila masa untuk menuntut ilmu, meliputi semua ilmu akhirat. Di sini juga menekankan asas-asas ilmu yang menyempurnakan pengamalan Islam.

Datuk kepada bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Badawi juga merupakan pejuang institusi pengajian cara pondok malah beliau telah berusaha mengislamkan pentadbiran Umno sehingga berani menegur Umno dalam hal menghalalkan judi pada tahun 1950-an dahulu. Akhbar Utusan Melayu bertarikh 1951, menyiarkan fatwa yang telah dikeluarkan oleh Mufti Pulau Pinang, iaitu Tuan Haji Abdullah Fahim bahawa judi loteri yang digunakan oleh Umno itu adalah haram.

Ia cuma satu dari beratus pondok yang tumbur subur di tanah air. Pondok wujud sudah terlalu lama di tanah air, sebelum wujud Taliban dan al-Qaeda lagi. Justeru menganggap pondok sebagai tempat melatih pengganas adalah sangat melampau.

Mengaitkan pondok dengan kegiatan ekstremis mungkin juga berlaku kerana penglibatan seorang aktivis dalam pepera ngan di Syria, lalu meninggal dunia di sana dalam satu pertempuran.

Beliau yang telah dipecat dari PAS kerana penglibatan tersebut tidak mewakili keseluruhan institusi pondok di Malaysia. Bahkan pentadbir pondok tempatnya pernah mengajar turut menafikan sebarang kegiatan militan yang menjadi asas tarbiyah pelajar pondok.

Menurut presiden Majlis Perundingan Islam Malaysia (Mapim) Haji Azmi Abdul Hamid, tanggapan dan andaian umum bahawa seolah pondok merupakan punca wujudnya individu berkecenderungan militan adalah sama dengan polisi yang diperkenalkan oleh kuasa imperialis Barat yang mahu menanam kecurigaan dan fobia dikalangan masyarakat awam kepada institusi pondok di negara-negara umat Islam.

“Debat melihat institusi pondok malah institusi pendidikan agama dari kacamata sekuriti adalah berpunca dari sikap prejudis yang dipopularkan oleh pengaruh ‘war on terrorist.’ Dari satu sudut terdapat mereka yang mahu membendung perkembangan Islam radikal dan militan, dan dari sudut lain, ada mereka yang mahu mempertahan dan membela kemandirian institusi agama yang merasa disalah anggap dalam perdebatan mengenai gerakan militan,” ujar Azmi.

Habis, mengapa tiba-tiba pondok dicurigai? Kerana di situ lahirnya benih-benih Islam yang mendokong Islam secara benar berasaskan ilmu Islam yang sebenar.

Islam yang mengutip ilmu secara bertalaqqi dan bersanad hingga kepada Rasulullah s.a.w. Islam tulen ini agaknya yang tidak digemari oleh puak sekular yang mendominasi pentadbiran negara.

Lantas mencari istilah kambing hitam untuk dilabelkan iaitu “pengganas”, “ekstremis”, “militan” atau apa sahaja.

Tiada ulasan: