Sabtu, 21 Februari 2015

Khairy patut fokus masalah golongan belia, kata ahli Umno

THE MALAYSIAN INSIDER


 Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar dinasihatkan tidak melibatkan diri dengan program jelajah kes Liwat II Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disifatkan tidak memberi sebarang kelebihan kepada parti. – Gambar fail The Malaysian Insider, 20 Februari, 2015.Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar dinasihatkan tidak melibatkan diri dengan program jelajah kes Liwat II Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disifatkan tidak memberi sebarang kelebihan kepada parti. – Gambar fail The Malaysian Insider


Seorang ahli Umno hari ini menegur Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin Abu Bakar, menasihatkan beliau menumpukan kepada masalah yang dihadapi golongan belia daripada menganjurkan jelajah mengenai kes Liwat II Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Penerangan Umno Cawangan Pusat Bandar Taman Chempaka, Syed Rosli Syed Harman Jamalullail berkata tindakan tersebut hanya akan “back fire” (makan diri) parti Melayu  itu sendiri memandangkan kini ramai yang simpati kepada nasib ketua pembangkang tersebut.

Lebih daripada itu, beliau yang merangkap penolong setiausaha Pemuda Cawangan berkata, penganjuran program jelajah itu satu tindakan mengaibkan bagi Anwar dan keluarganya, tambahan pula ketua umum PKR tersebut kini sedang menjalani hukuman penjara.


"Road show ini juga akan 'back fire' kepada Umno kerana ramai juga antara mereka yang rasa simpati terhadap keluarga Anwar, dan jalan terbaik bagi Umno melalui Pemuda ialah meredakan suasana.

"Khairy sepatutnya lebih fokus kepada masalah yang sedang dihadapi golongan belia seperti masalah perumahan mampu milik, kos sara hidup, pendidikan yang murah, masalah mat rempit, sosial," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Syed Rosli berkata, prestasi sukan negara juga dilihat hambar dan tidak mencapai prestasi membanggakan tanpa sebarang pingat emat dalam temasya sukan antarabangsa semenjak Khairy memegang portfolio menteri belia dan sukan.

Khairy berkata pada satu forum di Kelana Jaya pada Selasa malam, program jelajah seluruh negara itu diadakan sekarang memandangkan proses kehakiman kes itu kini selesai.

Katanya lagi, selama ini Umno sering kali dituduh mempunyai konspirasi politik terhadap Anwar sejak pendakwaan 2008, bagaimanapun parti itu hanya mendiamkan diri kerana tidak mahu dianggap menghina mahkamah.

Antara lain, Syed Rosli (gambar, kiri) berkata, secara peribadinya beliau mencurigai niat sebenar Khairy sambil mendakwa terdapat khabar angin ahli Parlimen Rembau itu pernah menjadikan Anwar sebagai idolanya ketika era reformasi 1998.

"Saya banyak mendengar cerita yang Khairylah orang yang memberi pasport kepada Anwar selepas beliau dibebaskan awal pada tahun 2006 dan Khairy juga menanggap Anwar sebagai idolanya semasa reformasi tahun 1998, ketika itu Khairy masih belajar di England.

"Saya tidak mengiakan semua tuduhan tersebut, namun jikalau Khairy berani membuat kenyataan berserta sumpah mubahalah membersihkan namanya daripada tuduhan ini, saya yakin ramai akan lebih menghormati beliau.

"Kerana, ramai beranggapan yang ini semua (jelajah) hanyalah wayang kulit sahaja untuk buktikan Khairy tidak pernah menyokong Anwar," katanya.

Akhir tahun lepas, Syed Rosli dalam surat terbuka menyeru Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan bagi memenuhi kehendak akar umbi.
Katanya, Najib perlu berundur demi kelangsungan Umno sebelum pilihan raya umum yang akan datang.

Syed Rosli sebelum ini pernah mencabar Khairy bagi jawatan ketua Pemuda Umno. Ketika berkempen, beliau memanggil Khairy warga Bangladesh kerana lahir di luar negara.

Tiada ulasan: