Sabtu, 21 Februari 2015

Keunikan Masjid Muhammadiah


Keunikan Masjid Muhammadiah
 
 
TANGGAL 4 Ogos 2013, bersamaan 27 Ramadan 1434H menjadi detik sejarah buat penduduk di Ipoh apabila sebuah Masjid Cina pertama di negeri ini, dikenali Masjid Muhammadiah, dibuka untuk orang ramai mendirikan solat.

Reka bentuknya yang tidak meletakkan kubah besar di bumbung dan hiasan yang menggunakan 100 peratus bahan binaan serta aksesori dari China seolah-olah melambangkan Islam bukan hanya untuk Melayu.

Bumbung dan menara masjid bermotifkan bunga kebangsaan iaitu bunga raya menggantikan elemen bunga teratai dan gambar naga yang cukup sinonim dengan budaya masyarakat Cina.

Pintu masuk utama berwarna merah dihiasi tulisan Cina di bahagian kanan dan kiri manakala perkataan Masjid Muhammadiah dalam tulisan rumi di bahagian atas seolah-olah mencerminkan perjalanan sejarahnya tersendiri.

Masjid yang menggunakan prinsip geometri itu  menggunakan mainan warna yang dekat dengan masyarakat Cina iaitu merah, putih dan hijau sebagai latar warnanya.

Bangunan yang dibina di tapak seluas 0.4 hektar dengan kos RM6.8 juta di Taman Tasek Jaya, Ipoh itu diilhamkan bekas Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk) yang juga Pengerusi Majlis Muafakat Pertubuhan Bukan Kerajaan Negeri (Mampan), Datuk Sheikh
Mohamah Nor Mansor Al-Hafiz. bagi memperlihatkan syiar Islam yang tiada sempadan.

Mula dibina pada November 2011 melalui peruntukan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak (Maipk); Kerajaan Persekutuan dan negeri; Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) dan sumbangan orang ramai, masjid itu memuatkan 1,000 jemaah malah
menempatkan pusat dakwah, dewan serbaguna dan kelas agama.

Setelah dua tahun, Masjid Cina sudah membuktikan, ia bukan sekadar tempat ibadat, tetapi menjadi pusat dakwah bagi saudara baru daripada Cina Muslim di sekitar negeri.

Pelbagai aktiviti dijalankan

Saudara baharu yang ditemui mengakui sering mengikuti pelbagai program dan aktiviti keagamaan anjuran Masjid Muhammadiah.

Muhammad Hanif Kang, 29, berkata, antara aktiviti yang dianjurkan pihak masjid adalah kelas fardu ain dan ceramah perdana.

Menurutnya, pada setiap minggu dia akan menunaikan solat Jumaat di masjid itu kerana suasananya amat menenangkan.

"Saya merupakan masyarakat Cina di Perak yang memeluk agama Islam di masjid ini.

“Ia juga menjadi penyebab masjid ini dekat di hati saya,” katanya.

Manakala, Muhammad Leong Abdullah, 74, berkata, keindahan masjid berkenaan perlu dipromosikan pihak berkenaan agar keunikan rumah ibadat itu menjadi tarikan pelancong dalam dan luar negara.

Jelasnya, keunikan masjid itu tidak terdapat di kawasan lain kecuali di Kelantan dan Melaka, malah dengan promosi berkenaan juga dapat menjana pendapatan kerajaan negeri dari sudut pelancongan.

“Promosi keunikan masjid ini perlu diluaskan di akhbar, majalah serta media sosial kerana seni binanya  tidak terdapat di masjid lain kecuali di Rantau Panjang dan Melaka," katanya.

Sebelum ini, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengklasifikasikan seni bina masjid itu sebagai The real Chinese architechture.

Bangunan itu menjadi mercu tanda baharu di negeri untuk menarik minat pelancong luar melihat sendiri keunikan masjid berkenaan yang dikelilingi  persekitaran indah.

Tiada ulasan: