Selasa, 10 Februari 2015

Jika betul Hatta dalang guling Hadi, ia benar-benar serius - Suhaizan Kaiat

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Pemuda PAS tidak menolak kemungkinan parti itu akan dilanda perpecahan sekiranya dakwaan yang mengatakan Pengarah Pilihan Raya Pusat, Dr Hatta Ramli mendalangi komplot menjatuhkan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu benar. 
 
Ketuanya, Suhaizan Kaiat berkata, dakwaan berkenaan sememangnya serius kerana ia membabitkan bukan calang-calang personaliti di dalam parti berkenaan. 
 
Namun kata beliau, untuk berlaku adil kepada pihak yang menuduh dan juga dituduh, dakwaan berkenaan perlu disiasat dengan teliti oleh lembaga disipilin parti berdasarkan bukti yang benar-benar mempunyai kredibiliti.
 
"Bila tuduhan itu melibatkan pimpinan tertinggi di dalam parti, dan kalau benar ia wujud, boleh sebabkan perpecahan di dalam parti.
 
"Jadi bila ia serius, maka kena ada prosedur yang perlu dipatuhi. Bukan begitu saja (serah memorandum)," katanya kepada Antarapos ketika dihubungi.
 
Ahad lalu, sekumpulan hampir 80 penyokong, yang diketuai Ketua Pemuda PAS Kuantan Noorzazilafadli Ibrahim hadir di Ibu Pejabat PAS bagi menyerahkan memorandum menuntut Dr Hatta meletakkan jawatan kerana didakwa berkomplot menggulingkan Hadi.
 
Kumpulan itu yang membawa plakad 'pecat Hatta dan konco-konco' dan 'kami dikhianati Hatta Ramli' dalam pada itu turut membawa akuan bersumpah sebagai bukti, yang mengandungi imej paparan (screenshot) Whatsapp perbualan beberapa pemimpin berhubung komplot berkenaan. 
 
Mengulas hal berkenaan, Suhaizan menyifatkan imej paparan yang didakwa sebagai bukti itu berkemungkinan besar boleh dipersoalkan kredibilitinya.
 
"Kena dibuat secara betul, hantar betul-betul elok dengan bukti yang sahih. Kalau betul nak hantar, tak boleh hantar dalam bentuk akuan (SD) begitu. Kena hantar telefon bimbit.
 
"Whatsapp yang dicetak itu boleh dibuat.. Itu pun masih boleh dipertikai lagi daripada telefon itu betul atau tidak. Banyak perkara kena buat untuk sahkan," ujarnya lagi.
 
Tindakan menganjurkan demontrasi aman itu juga kata Suhaizan, bukanlah satu tindakan yang molek.
 
Ujarnya, ahli-ahli parti sewajarnya menggunakan mekanisme dalaman untuk menyuarakan sebarang aduan mahupun ketidakpuasan hati terhadap sesuatu perkara yang berlaku di dalam parti.
 
"Kalau ada masalah, guna saluran yang betul. Itu sebenarnya penekanan kita.
 
"Bila buat demo begitu, pada saya risiko untuk orang beri persepsi yang salah (kepada parti) adalah lebih besar berbanding masalah yang dibawa itu. Tuduhan itu memang besar tapi kenapa guna saluran begitu rupa," ujarnya lagi.
 
Enggan mengulas sama ada beliau kesal dengan insiden itu, Suhaizan dalam pada itu menyeru agar kepimpinan Pemuda menitikberatkan politik budiman agar lebih bersikap cerdik dan matang dalam mendepani cabaran.
 
"Proses kematangan dalam berpolitik ini memakan masa. Kita kena belajar lebih lanjut tentang berpolitik, mana laluan yang kita nak ambil, bagaimana nak bertindak.
 
"Itu yang saya gariskan politik budiman, iaitu politik yang cerdik, bijaksana dan berbudi. Maksudnya dalam berdepan dengan masalah, kita harus cerdik menguruskan perbezaan itu," ujarnya.   

Tiada ulasan: