Sabtu, 21 Februari 2015

Ehhh...Baru Nak Beli Cili, Takkan Najib Dah Tahu Pedasnya Makanan

shahbudindotcom


Perkara yang paling ditunggu-tunggu oleh semua orang ketika ini ialah bilakah Sirul Azhar Umar, salah seorang pesalah hukuman mati dalam kes pembunuhan Altantuya yang kini berada dalam tahanan di Australia, mahu mendedahkan cerita sebenar mengenai pembunuhan itu.

Sejak kelibatnya tidak muncul ketika hukuman dijatuhkan dan kemudian didapati sudah melarikan diri ke negara kangaroo itu untuk mengelak hukuman mati keatasnya,  ramai yang menjangkakan beliau pasti akan melakukan kejutan suatu hari nanti.

Beliau dipercayai memang sengaja melarikan diri kerana menganggap tiada keadilan dalam hukuman yang diterimanya dan memilih Australia sebagai tempat pelariannya ialah kerana negara itu tidak menguatkuasakan hukuman mati serta menolak ekstradisi pesalah yang disabitkan dengan hukuman tersebut.

Mendedahkan kebenaran dan siapa yang mengarahkannya dalam kes pembunuhan Altantuya dianggap pilihan terbaik baginya untuk membersihkan namanya.

Berada di pusat tahanan Imigresen Australia sekarang, Sirul melalui temubual telefon dengan Malaysiakini, padanya mulanya hanya mengatakan beliau sedang menimbang dengan serius mahu mendedahkan cerita sebenar mengenai pembunuhan yang dianggap misteri itu.

Tetapi secara perlahan-lahan juga melalui temubual dengan portal itu beliau mula mendedahkan bahawa ada seseorang yang masih bebas mengarahkan membunuh Altantuya itu. Ia sekaligus mengulangi keterangannya dalam mahkamah dulu bahawa beliau adalah "kambing hitam" semata-mata dalam kes tersebut.

Sirul juga cuba memutihkan namanya dengan mengatakan beliau tidak pernah mengaku melakukan pembunuhan itu serta tiada saksi yang dapat membuktikannya, namun sabitannya hanya berdasarkan keterangan mengikut keadaan semata-mata.

Walaupun Sirul bersama Azilah Hadri sudah dijatuhkan hukuman mati dan Razak Baginda, rakan karib kepada Perdana Menteri, Najib Razak yang dituduh bersubahat dengan pembunuhan itu sudah dilepaskan oleh Mahkamah Tinggi dan kesnya tidak dirayu, motif pembunhan dan siapa yang memberi arahan masih  tidak diketahui sehingga kini.

Ini kerana dalam kes Azilah dan Sirul ini, barangkali buat pertama kalinya dalam sejarah perundangan, mahkamah memutuskan motif pembunuhan bukan satu faktor yang penting untuk diketahui.

Razak pula, dalam satu temubual dengan Malaysian Insider setelah kedua-dua anggota polis itu dijatuhkan hukuman mati menyatakan, polis yang jahat memang selalu membunuh orang sebagaimana yang berlaku kepada ramainya yang mati semasa berada dalam tahanan reman.

Yang paling ingin diketahui daripada Sirul melalui pendedahannya ialah siapakah yang mengarahkannya melakukan pembunuhan itu. Jika didedahkan siapa yang mengarahkannya, maka akan terungkailah motif pembunuhan itu.

Bila terdedah motif, maka keadilan pun akan tertegak dengan sendirinya.

Mungkin Sirul ketika ini, selain memikir tentang pendedahan, beliau juga sedang menimbang media antarabangsa yang difikirkan paling sesuai baginya untuk mendedahkan cerita itu. Sirul pasti mahu pendedahannya memberi impak paling besar, bukan saja dalam konteks menegakkan keadilan, membersihkan namanya dan membawa perancang utama pembunuhan Altantuya ke muka pengadilan, malah kalau boleh menggegarkan dunia sekali pun.

Dengan bergegarnya  dunia dengan pendedahan itu nanti, barangkali ia adalah penawar paling mujarab kepada semua derita dan sengsaranya selama ini.

Tetapi belum pun Sirul mendedahkan siapa yang mengarahkannya melakukan pembunuhan itu bersama beberapa pendedahan lain yang mungkin menggemparkan dunia, Najib Razak ketika ditanya pemberita, dengan pantas menyatakan ianya sebagai mengarut.

Perdana Menteri  kemudian menggeleng kepala beberapa kali, lantas berlalu pergi.

Kenapa Najib begitu cepat mengatakan ianya mengarut sedangkan Sirul belum pun membuat pendedahan lagi? Kenapa begitu cepat terasa dan tercuit perasaan?

Dengarlah dulu apa yang mahu dikatakan Sirul sebelum mengatakan ianya mengarut atau sebaliknya? Tidak semestinya pendedahan Sirul menjurus ke arah mengaitkan Najib atau sesiapa yang dekat dengannya terlibat dalam pembunuhan itu, mungkin ia juga bertujuan membersihkan lagi nama Perdana Menteri yang ditohmah macam-macam sebelum ini?

Namun, mengapa Najib cepat sangat tersentuh hati? Belum pun membeli cili, takkan sudah terasa pedasnya makanan? Sebelum duduk, berlunjurlah dahulu.

Sebagaimana yang dibangkitkan oleh banyak pihak juga, bukankah Najib sebelum ini sudah bersumpah tidak mengenali Altantuya?

Kalau sumpah itu sesuatu yang benar,  tiada yang benar melainkan benar belaka dan bukan seperti sumpah-sumpah seperti keterangannya yang mudah berubah ketika menemui Saiful  Bukhari dengan mulanya mengatakan kerana masalah biasiswa tetapi kemudian menyatakan untuk mengadu dirinya diliwat, kenapa Najib rasa terganggu apabila Sirul mengatakan beliau diarahkan oleh seseorang untuk melakukan pembunuhan terhadap Altantuya itu?

Sirul hanya mengatakan beliau diarahkan saja tetapi belum pun menyebut lagi siapa yang mengarahkannya. Tidak pasti pun sama ada akan menyebut nama Najib, Razak Baginda atau sesiapa yang lain.

Sebagai pengamal kesederhanaan, tidak bolehkah didengar dulu apa pendedahan Sirul itu atau makanlah dulu sesuap dua sebelum mengatakan makanan itu pedas atau tidak?

Ehhh...Relakslah bro!!

Tiada ulasan: