Sabtu, 21 Februari 2015

DUN CHEMPAKA: PAS tetap tanding meskipun tanpa pencabar - Mohd Amar

Oleh Syed Mu'az Syed Putra
Post Pic

 
 
KUALA LUMPUR: PAS tetap bersedia untuk mempertahankan kerusi DUN Chempaka pada pilihan raya kecil kawasan itu pada 22 Mac meskipun tanpa cabaran seteru politik daripada Barisan Nasional (BN).
 
Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata PAS tetap bertanding untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka meskipun tanpa seterunya BN.
 
Tegas beliau, pilihan raya kecil kawasan berkenaan perlu dipertahankan PAS sebagai salah satu kubu kuat parti Islam itu di Kelantan.
 
"Kita akan bertandinglah, kita akan pertahankan kerusi (DUN) Chempaka itu.
 
"Saya tak nak komenlah yang orang punya," katanya kepada Antarapos.
 
Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan berkata pihaknya kini sedang menilai dan meneliti senarai nama calon untuk bertanding di DUN Chempaka.
 
"Cuma saya nak beritahu pendirian PAS kita akan terus dan tetap bertanding untuk mempertahankan kerusi itu.
 
"Dan kita sudah ada senarai calonnya," katanya.
 
Ditanya mengenai kriteria calon, Mohd Amar enggan mengulas lanjut sebaliknya berkata ia akan ditentukan oleh pucuk pimpinan PAS.
 
"Kita tengoklah macam mana sebab kita tak boleh nak cakap apa...kena tengok dulu," katanya.
 
Sebelum ini, Pengerusi Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed mencadangkan agar BN tidak meletakkan calon pada pilihan raya kecil itu kerana tumpuan kini perlu diberi kepada kerja pemulihan pasca banjir di negeri itu.
 
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan 22 Mac depan sebagai tarikh pembuangan undi bagi kawasan DUN Chempaka sementara mengumumkan hari penamaan calon ditetapkan pada 10 Mac.
 
Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lepas, Nik Abdul Aziz (PAS) menewaskan calon BN Wan Razman Wan Abd Razak dengan majoriti 6,500 undi.
 
Nik Abdul Aziz mendapat 12,310 undi manakala Wan Razman memperoleh 5,810 undi.

Tiada ulasan: