Dr Mohd Asri Zainul Abidin
 
 
ALOR SETAR - Semua pihak wajar memuji cadangan pemimpin-pemimpin yang berhasrat mengelakkan pertandingan antara Umno dan Pas di Dun Chempaka, berikutan kematian penyandangnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, cadangan itu wajar dipertimbangkan bagi memberi ruang tempoh bertenang selepas Kelantan berdepan dua peristiwa besar, iaitu banjir dan pemergian Nik Aziz ke rahmatullah.

“Kelantan baru sahaja dilanda banjir besar, PRK boleh kembali meruncingkan hubungan antara sesama muslim pada musim tenang ini.

Apatah lagi kematian Tok Guru Nik Aziz telah membawa pemimpin politik bersikap rasional, matang dan hormat,” katanya.

Menurutnya, dibimbangi jika diadakan pertandingan pada PRK itu, tidak mustahil kemungkinan rakyat kembali tegang.

“Ambillah sedikit masa berehat dan tenang, agar ada ruang berfikir yang cukup untuk politik yang lebih bermanfaat dan matang,” katanya.