Azmin Ali Azmin Ali
 
 
SHAH ALAM - Kerajaan Selangor bertindak membatalkan Projek Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex) susulan kegagalan syarikat konsesi itu mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan pada tarikh akhir 15 Februari 2015.

Menteri Besarnya, Mohamed Azmin Ali berkata, memandangkan tarikh tamat perjanjian sudah  berakhir namun dalam tempoh berkenaan tidak ada satu pun syarat yang dipatuhi Kidex.

“Kerajaan negeri dengan ini mengumumkan pembatalan projek lebuhraya bertingkat berkenaan.

“Kerajaan Selangor mengamalkan pendekatan mengambil kira pandangan orang ramai dalam menentukan kelulusan sesebuah projek agar ia membawa manfaat menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, kerajaan negeri telah menggunapakai maklum balas orang ramai yang terbabit untuk menetapkan syarat - syarat khusus yang perlu dipatuhi.

“Kerajaan Negeri juga berpendirian bahawa pembinaan lebuhraya dalam Negeri Selangor perlulah bermanfaat bukan sahaja kepada pengguna lebuhraya tetapi juga dinikmati oleh penduduk di mana lebuhraya itu dibina.

“Pendirian ini telah diluluskan dalam pembentangan Belanjawan Negeri Selangor 2015 di Persidangan Dewan Negeri Selangor pada 24 November 2014,” katanya.