Selasa, 14 Oktober 2014

Taman riadah jadi stor barang, ADUN Mentakab minta PBT jawab

taman_rimba_tengku_zulpuri
Tengku Zulpuri bersama penduduk di Taman Rimba, Mentakab membantah pembinaan stor di taman riadah

Roketkini.com


MENTAKAB: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tidak sepatutnya mengambil kawasan riadah orang awam tanpa mengambil kira pendapat penduduk setempat, kata Ahli Dewan Undangan Negeri Mentakab Tengku Zulpuri Shah Raja Puji.

Dalam satu kenyataan kepada Roketkini katanya, beliau sendiri melawat taman riadah tersebut di Tanah Lot bernombor 2958, Taman Rimba, di sini tengah hari tadi dan mendapati sebuah papan tanda dinaikkan atas nama cadangan projek ‘Cadangan Membina Setor Menyimpan Barang-barang Runcit’.

“Taman ini telah wujud semenjak tahun 1975 dan menjadi tempat utama penduduk, tanpa mengira lapisan umur untuk beriadah.

“Pada jam 6 pagi, penduduk akan berlatih ‘tai chi’, manakala sebelah petang anak muda akan bermain bola keranjang,” katanya dalam satu kenyataan.
 
Menurut Tengku Zulpuri, beliau dimaklumkan tentang perkaa tersebut oleh penduduk yang kehairanan melihat kontraktor memasang papan tanda dan mula mengorek tanah jam 9 pagi tadi.

Perkara itu katanya, mendatangkan kecurigaan kepada penduduk apabila pihak kontraktor serta-merta menghentikan kerja mereka selepas disoal penduduk.

Taman Rimba, yang merupakan antara kawasan perumahan terawal di Mentakab berada di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Temerloh.

Menurut papan tanda yang dipasang, pihak Majlis Perbandaran Temerloh telah pun meluluskan projek menukar padang awam itu kepada tempat menyimpan barang dengan nombor kelulusan pelan 10/2/3277(BB025/2014).

Justeru katanya, pihak berkuasa tempatan tidak boleh mengambil pusat riadah sepenting itu tanpa sekurang-kurangnya memberikan pilihan lain.

“Sepatutnya PBT dan juga penghulu memahami ini adalah tempat kemudahan awam. Jumlah rumah di sini melebihi 1,000 buah rumah, maka padang ini digunakan ramai orang.

“Kemana tempat lain lagi yang boleh mereka gunakan?” kata Ketua Pembangkang DUN Pahang itu lagi.

“Sekiranya tanah tersebut adalah hak persendirian, PBT mestilah memikirkan jalan penyelesaian yang tidak meminggirkan mana-mana pihak,” katanya lagi. – Roketkini.com

Tiada ulasan: