Isnin, 13 Oktober 2014

Subsidi dipotong demi Permata Rosmah RM711 juta

Oleh: Nadia Hanafi


KUALA LUMPUR - Belanjawan 2015 yang dibentangkan Jumaat lalu memperuntukkan RM711 juta kepada Program Permata Negara (Permata) yang dinaungi isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Haniza TalhaNaib Ketua Wanita KEADILAN, Haniza Talha berkata tidak sepatutnya subsidi rakyat dipotong hanya semata-mata untuk disalurkan kepada program berkenaan.

“Dalam keadaan ekonomi negara yang agak sukar apabila subsidi dipotong dan rakyat menanggung beban, lebih baik duit yang diperuntukkan itu dibelanjakan pada benda yang lebih berguna,” katanya ketika dihubungi.

Haniza mempersoalkan program berkenaan sedangkan menurutnya negara telah mempunyai sistem pendidikan yang baik khususnya untuk kanak-kanak pra sekolah.

Beliau menyifatkan Permata sebagai tidak telus apabila diberikan peruntukan besar di bawah kuasa Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“Peruntukkan ini sangat besar sedangkan program ini tidak duduk di bawah kementerian (wanita) tetapi di bawah JPM. Siapa yang memantau perlaksanaan projek ini? Banyak yang saya tengok tidak telus.

“Ada juga saya dengar bahawa jumlah yang diperuntukkan itu tidak digunakan sepenuhnya untuk tujuan pendidikan,” katanya.

Mengulas dakwaan terdapat kakitangan Permata tidak menerima peruntukan dan terpaksa meminta sumbangan pihak luar, Haniza meragui cara pengendalian wang bagi program tersebut.

“Kalau kakitangan Permata sendiri tidak perolehi peruntukan itu jadi mana peginya duit yang disalurkan itu? Itu kena bentangkan laporan prestasi program tersebut,”katanya ketika dihubungi.
Ke mana wang Permata dibelanjakan?

Sementara itu Ketua Srikandi KEADILAN, Siti Aishah Shaik Ismail turut mempersoalkan ke mana wang Permata dibelanjakan.

Beliau juga berkata seolah-olah wujud konflik kepentingan memandangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga menteri Kewangan, adalah suami kepada Rosmah.

Siti Aisyah“Seolah-olah Datin Seri Rosmah ada akses yang penuh di dalam kewangan negara,” katanya kepada Keadilan Daily.

Aishah juga mempersoalkan tiada siasatan dan laporan daripada Ketua Audit Negara mengenai penyaluran wang berkenaan.

“Rakyat harus tekan kerajaan untuk menjelaskan perkara ini. Dengan subsidi minyak rakyat ditarik 20 sen, RM700 juta pula dapat pada isteri PM,” katanya.

Sejak ditubuhkan, Permata tidak pernah ketinggalan menerima peruntukan semasa pembentangan bajet oleh Perdana Menteri setiap tahun.

Pada tahun 2010 sebanyak RM100 juta diperuntukkan bagi program berkenaan. Jumlahnya meningkat pada tahun 2011 (RM111 juta), 2012 (RM1.2 bilion),  2013 (RM390 juta),  dan 2014 (RM630 juta).

Tiada ulasan: