Oleh: Nadia Hanafi
KUALA LUMPUR - Belanjawan 2015 yang dibentangkan Jumaat lalu
memperuntukkan RM711 juta kepada Program Permata Negara (Permata) yang
dinaungi isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Naib
Ketua Wanita KEADILAN, Haniza Talha berkata tidak sepatutnya subsidi
rakyat dipotong hanya semata-mata untuk disalurkan kepada program
berkenaan.
“Dalam keadaan ekonomi negara yang agak sukar apabila subsidi
dipotong dan rakyat menanggung beban, lebih baik duit yang diperuntukkan
itu dibelanjakan pada benda yang lebih berguna,” katanya ketika
dihubungi.
Haniza mempersoalkan program berkenaan sedangkan menurutnya negara
telah mempunyai sistem pendidikan yang baik khususnya untuk kanak-kanak
pra sekolah.
Beliau menyifatkan Permata sebagai tidak telus apabila diberikan peruntukan besar di bawah kuasa Jabatan Perdana Menteri (JPM).
“Peruntukkan ini sangat besar sedangkan program ini tidak duduk di
bawah kementerian (wanita) tetapi di bawah JPM. Siapa yang memantau
perlaksanaan projek ini? Banyak yang saya tengok tidak telus.
“Ada juga saya dengar bahawa jumlah yang diperuntukkan itu tidak digunakan sepenuhnya untuk tujuan pendidikan,” katanya.
Mengulas dakwaan terdapat kakitangan Permata tidak menerima
peruntukan dan terpaksa meminta sumbangan pihak luar, Haniza meragui
cara pengendalian wang bagi program tersebut.
“Kalau kakitangan Permata sendiri tidak perolehi peruntukan itu jadi
mana peginya duit yang disalurkan itu? Itu kena bentangkan laporan
prestasi program tersebut,”katanya ketika dihubungi.
Ke mana wang Permata dibelanjakan?
Sementara itu Ketua Srikandi KEADILAN, Siti Aishah Shaik Ismail turut mempersoalkan ke mana wang Permata dibelanjakan.
Beliau juga berkata seolah-olah wujud konflik kepentingan
memandangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga menteri
Kewangan, adalah suami kepada Rosmah.
“Seolah-olah Datin Seri Rosmah ada akses yang penuh di dalam kewangan negara,” katanya kepada Keadilan Daily.
Aishah juga mempersoalkan tiada siasatan dan laporan daripada Ketua Audit Negara mengenai penyaluran wang berkenaan.
“Rakyat harus tekan kerajaan untuk menjelaskan perkara ini. Dengan
subsidi minyak rakyat ditarik 20 sen, RM700 juta pula dapat pada isteri
PM,” katanya.
Sejak ditubuhkan, Permata tidak pernah ketinggalan menerima
peruntukan semasa pembentangan bajet oleh Perdana Menteri setiap tahun.
Pada tahun 2010 sebanyak RM100 juta diperuntukkan bagi program
berkenaan. Jumlahnya meningkat pada tahun 2011 (RM111 juta), 2012 (RM1.2
bilion), 2013 (RM390 juta), dan 2014 (RM630 juta).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan