Penganalisis Politik, Profesor Dr Ismail Sualman Penganalisis Politik, Profesor Dr Ismail Sualman

SHAH ALAM - Nasib Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) bakal berakhir seperti Semangat 46 apabila penubuhan badan itu tidak berlandaskan kepada wadah perjuangan yang kukuh sama ada atas nama bangsa ataupun agama.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Ismail Sualman berkata, lazimnya badan seperti itu tidak boleh bertahan lama kerana ia wujud apabila timbulnya krisis atau kepimpinan bermasalah dalam sesuatu parti.

"PasMa diwujudkan atas nama ketidakpuasan hati terhadap pemimpin atau sebarang isu,

"Bagi saya ia diwujudkan kerana ura-ura Pas akan keluar dari PR akibat kemelut politik di Selangor pada bulan lepas.

"Kemelut di Selangor nampaknya sudah reda dan ramai berpendapat mereka tidak perlu lagi lari dari Pas kerana Pas masih lagi berada dalam PR," katanya kepada Sinar Harian Online, semalam.

Mengulas lanjut, Ismail bagaimanapun tidak menafikan Pasma masih mempunyai 'pasaran' dan akan menjadi pilihan generasi muda atau golongan liberal namun mengekalkan pendekatan beragama.

"PasMa merupakan satu pertubuhan untuk mereka yang tidak bersetuju dengan pendekatan Pas Pusat.

"Oleh kerana ada beberapa pergeseran dalam Pas sekarang ini menyebabkan wujudnya dua aliran, satu aliran menonggak ulama sebagai pemimpin yang masih bersifat ortodoks manakala satu aliran lagi ialah golongan pembaharuan dalam Pas.

"Saya fikir mereka yang tidak bersetuju dengan Pas itu, mereka akan keluar dan mencari laluan lain dengan masuk ke dalam Pasma yang lebih liberal, terbuka, lebih hendak cepat dalam buat segala keputusan, berbanding Pas sedia ada," ujarnya.

Ismail berkata lagi, kewujudan Pasma didakwa ditunjangi oleh beberapa pemimpin PKR untuk memberi pilihan kepada ahli Pas yang mahukan parti itu keluar daripada PR.

Walaupun beliau menafikan Pasma tempat kepada ahli dan pimpinan Pas yang kecewa, namun Ismail mengakui badan itu dianggotai oleh mereka yang tidak 'sebulu' dengan pimpinan Pas yang ditunjangi golongan ulama.

"Perkataan itu mungkin agak keterlaluan bagi saya, tetapi ia lebih kepada mereka yang tidak sebulu dengan Pas kerana Pasma bersifat liberal," katanya.