Isnin, 6 Oktober 2014

MP gesa bangkit tolak 'pesta arak' Carlsberg

MALAYSIAKINI


 


Semua pihak diseru bangkit menentang penganjuran pesta Octoberfest Carlsberg yang akan berakhir pada 12 Oktober ini kerana kemungkaran mesti dicegah, kata anggota parlimen PAS Nasrudin Hassan.

Katanya, cegahan itu harus dilakukan kerajaan pusat, kerajaan negeri, kerajaan tempatan dan pihak berkuasa agama di semua peringkat kerana bala Allah apabila turun akan mengenai semua pihak.

“Jangan hanya memberi alasan kononnya perkara ini berada di luar bidang kuasa sedang akibatnya kelak akan melanda umat tanpa mengenal di mana kuasa dan kedudukan mereka.

“Bangkitlah sebelum terlewat,” kata wakil rakyat Temerloh itu.

Beliau membangkitkan sebuah hadis Ali bin Abi Thalib yang antaranya mengebut, balasan Allah akan turun apabila arak sudah diminum secara berleluasa.

Menulis di Facebook beliau hari ini, Nasrudin berkata, walaupun arak boleh diminum oleh penganut agama yang membenarkannya, ia tidak harus dilakukan secara terbuka dan dipromosi besar-besaran.

“Pesta arak yang dipromosi besar-besaran ini telah menjadi mungkar terbuka meskipun ia dilakukan dalam ruang bangunan tertutup. Sekali gus ia mencabar sensitivit umat Islam.

Katanya, ia sama seperti hubungan seks luar nikah (pelacuran) yang dipromosi kepada umum dan wajib ke atas pihak berkuasa dan seluruh umat Islam bangkit mencegahnya.

“Jangan biarkan negara membangun dengan budaya mungkar dan maksiat. Kelak binasa tamadun dan maruah pula hilang keberkatan justeru dimurkai Allah SWT,” katanya.

Tiada ulasan: