Chong Wei disaran tidak terlalu memikirkan sasaran memburu pingat emas di Sukan Olimpik 2016. Chong Wei disaran tidak terlalu memikirkan sasaran memburu pingat emas di Sukan Olimpik 2016.
 
 
TIMBALAN Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Mohamad Norza Zakaria berharap Datuk Lee Chong Wei tidak terlalu memikirkan mengenai harapan negara untuk menghadiahkan emas di Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro.

Menurut Norza, beliau tidak mahu sebarang tekanan akan dihadapi Chong Wei bagi memastikan emosi dan fokus pemain nombor satu dunia itu tidak terjejas.

Katanya lagi, pihaknya juga tidak akan memaksa Chong Wei untuk beraksi sekiranya merasa kudratnya sudah tidak mampu bersaing pada kejohanan berprestij itu.

"Chong Wei perlu fikir yang terbaik dalam hal ini. Malah BAM juga perlu berhenti meletakkan beban kepadanya dan jangan terlalu fokus kepada Chong Wei semata-mata.

"Sekarang kita mesti mempunyai program yang melihat lebih jauh dari Chong Wei," katanya.

Kata Norza, meskipun pada hakikatnya BAM masih belum berjaya mencari pemain pelapis yang berkaliber seperti Chong Wei, namun semua pihak perlu realistik dan memahami bahawa kerjaya Chong Wei sudah sampai ke penghujungnya.

"Kita harus beri Chong Wei rehat kerana dengan umurnya bukan mudah untuk dia  mendapat kembali stamina seperti sebelum ini.

"Jangan terus bebani Chong Wei dengan harapan yang tinggi dan berilah masa untuk dia memikirkan mengenai diri sendiri.

"Namun, semuanya terpulang kepada BAM untuk menentukan langkah seterusnya," katanya.

Sebelum ini, Chong Wei mengakui tertekan kerana sering diberikan harapan utama memburu kejuaraan di setiap kejohanan.

Namun dia tidak mahu menjadikannya alasan sebaliknya mahu fokus untuk membawa pulang emas Olimpik dalam tempoh dua tahun lagi.