Sabtu, 4 Oktober 2014

Kesan kenaikan harga minyak di Sabah serius

 
Kenaikan sebanyak 10 peratus akan memberikan kesan yang mendalam terhadap harga barangan dan perkhidmatan lain.


petrol minyak


KOTA KINABALU: Pengerusi Democratic Action Party Sabah (DAP) Jimmy Wong berkata kenaikan harga bahan api sebanyak 20 sen seliter adalah satu beban kepada majoriti rakyat, terutamanya rakyat Sabah.

“Kesan ini adalah serius. Kenaikan sebanyak 10 peratus akan memberikan kesan yang mendalam terhadap harga barangan dan perkhidmatan lain,” katanya. “Pengangkutan dari sini ke Matunggong, pada hari Sabtu, akan meningkat sebanyak RM10, daripada RM30 kepada RM40. Ini adalah peningkatan sebanyak 33.3 peratus.”

“Harga makanan akan meningkat dan saya diberitahu sementara RON95 akan dikecualikan daripada GST pada tahun depan, namun tidak ada keputusan daripada kerajaan sama ada diesel akan dikecualikan juga.”

Beliau mengulas kesan kenaikan harga minyak kelmarin.

Di Sabah, kereta yang menggunakan diesel adalah satu keperluan kerana keadaan jalan raya yang amat teruk, katanya. “Orang-orang di semenanjung mampu untuk membeli kereta petrol kerana keadaan jalan raya mereka bagus.”

Jadi tahun depan, dengan GST, “kami akan membayar 20 sen lebih ditambah dengan enam peratus.”
Wong juga memberi amaran bahawa harga minyak boleh meningkat sekali lagi sebelum akhir tahun ini seperti yang berlaku pada tahun-tahun sebelum ini, sehingga harga bahan api di negara ini mencecah nilai pasaran antarabangsa.

Tambahnya, ini akan membunuh industri pembuatan Sabah yang bergantung sepenuhnya kepada diesel.

Oleh kerana kenaikan harga bahan api akan memacu harga barangan dan perkhidmatan yang lebih tinggi, pekerja berhak menuntut gaji atau elaun yang lebih tinggi, katanya.

“Sabah membayar 30 peratus lebih tinggi untuk mana-mana barangan dan perkhidmatan dan tidak lama lagi, kita perlu membayar GST. Dengan peningkatan harga bahan api, harga barangan akan meningkat semula, seperti biasa.”

Tiada ulasan: