Rahim (tengah) menunjukkan haiwan liar yang berjaya dirampas. Rahim (tengah) menunjukkan haiwan liar yang berjaya dirampas.
 
 
KUALA LUMPUR – Taktik dua beradik menjual hidupan liar melalui laman sosial Facebook terbongkar, apabila mereka diberkas anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor, Jumaat lalu.

Berikutan kejayaan itu, Perhilitan merampas 30 haiwan yang dilindungi, antaranya beruang matahari, jampok kubur, musang pandan, kucing batu, kubung dan landak raya yang kesemuanya bernilai RM30,000.

Kegiatan yang melanggar Akta Perlindungan Hidupan Liar 1976 tersebut dikesan hasil pemantauan dan risikan jabatan itu sejak seminggu lalu.

Pengarah Perhilitan Selangor, Rahim Ahmad berkata, dua lelaki terbabit ditahan di Plaza Tol Ayer Hitam, Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) selepas pihaknya menyamar sebagai pembeli.

“Kita menemui empat ekor jampok kubur, seekor beruang matahari dan seekor musang pandan di dalam sebuah kereta Naza Ria dinaiki suspek,” katanya.

Menurutnya, susulan tangkapan itu, pihaknya menyerbu sebuah rumah di Bandar Seri Sendayan, Seremban Negeri Sembilan dan menemui 24 haiwan liar.

Menurutnya, setiap hidupan liar yang dirampas mempunyai nilai pasaran tinggi berikutan sukar ditemui di negara ini.

“Misalnya harga seekor beruang matahari boleh mencecah RM10,000, kucing batu RM2,000 seekor dan landak raya (RM1,000),” katanya.

Dua beradik yang berusia 20 dan 29 tahun itu ditahan reman sehingga hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 60(1)(a) dan 68(1)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).