Rabu, 1 Oktober 2014

Elaun MB, exco S'gor akan dikaji semula

MALAYSIAKINI

 


Menteri besar dan exco Selangor bakal mengusulkan untuk mengkaji kenaikan elaun yang dinaikkan secara kontroversi tahun lalu.

Bagaimanapun menteri besar Azmin Ali menyatakan kajian itu hanya melibatkan empat jawatan tertinggi iaitu jawatan beliau, exco, speaker serta timbalan speaker dewan undangan negeri.

"Kami putuskan untuk kaji semula kenaikan elaun yang diputuskan pada 22 November 2013.

"Usul itu akan dikemukakan dalam sidang dewan November ini," kata beliau dalam sidang media selepas mesyuarat exco pertamanya di Shah Alam hari ini.

Bagaimanapun beliau nampak berdolak-dalik beberapa kali apabila wartawan berulang-kali menyoal sama ada kajian itu bakal memotong elaun sebelum ini atau tidak.

"Ya, potong (elaun)," kata beliau.

Kenaikan sebelum ini diusulkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mendapat kritikan dari rakyat kerana elaun beberapa jawatan seperti speaker naik sehingga 300 peratus.

Azmin yang ketika itu menjadi ketua whip DUN antara paling lantang meminta kajian semula dilakukan.

Bagaimanapun kesemua ADUN lain yang turut mendapat kenaikan elaun tidak diusik kerana kenaikan itu dirasakan berpatutan oleh Exco. 



"Kita merasakan kenaikan itu berpatutan aesuai dengan tanggungjawab yang mereka galas," kata beliau

Taklimat Air KDEB esok

Sementara itu, Azmin turut mengumumkan akan kerajaan negeri akan mendapatkan taklimat daripada Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) berhubung penstrukturan semula industri air negeri.

Beliau berkata KDEB akan hadir ke mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) esok untuk sesi pertama sejak perjanjian induk pengambilalihan konsesi air dimeterai bulan lalu.

"Buat masa ini, keutamaan kita adalah penstrukturan air. Kita perlu tengok perjanjian terlebih dahulu," katanya.

Tiada ulasan: