Ahad, 5 Oktober 2014

DAP Kedah gesa ROS buat kenyataan rasmi

 
“Ramai ahli DAP Kedah berada dalam kekeliruan dan kami mahukan kenyataan hitam putih daripada ROS. Kini, DAP di Kedah mempunyai kembar siam, satu pihak kami dan satu lagi DAP Interim,”
dap kedah

ALOR SETAR : Setiausaha Organisasi DAP Kedah, Law Theng Hooi menggesa Pendaftar Pertubuhan (ROS) membuat kenyataan rasmi berkenaan status mesyuarat agung tahunannya yang diadakan pada 11 Julai lalu bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan anggotanya.

Memetik daripada laporan Bernama, beliau berkata, pihaknya telah menghantar surat rasmi kepada ROS berkenaan perkara itu selepas mesyuarat selesai diadakan, tetapi hingga kini pihaknya masih belum menerima maklum balas.

“Ramai ahli DAP Kedah berada dalam kekeliruan dan kami mahukan kenyataan hitam putih daripada ROS. Kini, DAP di Kedah mempunyai kembar siam, satu pihak kami dan satu lagi DAP Interim,” katanya pada sidang media di Pejabat DAP Kedah.

Beliau menambah, pihaknya memahami ROS akan mengambil masa yang lama untuk mengeluarkan kenyataan rasmi, tetapi keputusan sama ada mesyuarat agung tahunan itu sah atau tidak perlu diketahui segera.

Sementara itu, mengulas berkenaan kenyataan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng baru-baru ini yang menyatakan bahawa kemelut DAP Kedah telah selesai, adalah tidak tepat.

“Macam mana boleh selesai kemelut ini kerana pihak ROS tidak memberi sebarang pengesahan berkenaan status mesyuarat agung tahunan pada 11 Julai lalu dan kami tidak akan bubarkan DAP Kedah selagi ROS tidak mengeluarkan sebarang kenyataan,” ujarnya.

Katanya, perkara tersebut harus diselesaikan segera bagi menjaga nama baik parti dan kepentingan anggotanya.

Tiada ulasan: