Rabu, 15 Oktober 2014

Berarak bantah Akta Hasutan esok

MALAYSIAKINI


 


Berarak untuk Keamanan dan Kebebasan bagi membantah Akta Hasutan, anjuran Badan Peguam Malaysia esok turut mendapat sokongan badan-badan perundangan antarabangsa yang menulis kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Beberapa pemerhati antarabangsa dan diplomat asing juga telah membayangkan mereka akan hadir sebagai pemerhati di program tersebut, kata Presiden Badan Peguam Malaysia, Christopher Leong dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, mereka persatuan dan badan peguam dari luar negara, seperti Lawasia, Persatuan Peguam Komanwel, Majlis Perundangan Australia dan ahli badan Peguam Jepun.

Leong (kanan) berkata Majlis Peguam juga mengambil maklum bahawa surat terbuka telah dihantar kepada Najib oleh pelbagai badan perundangan antarabangsa bagi menyokong acara tersebut.

Beliau berkata semua kenyataan dari badan-badan antarabangsa itu terdapat di laman web Badan Peguam Malaysia dan ia termasuk satu kenyataan sokongan dari Lawasia, surat dari Persatuan Peguam Komanwel, Badan Peguam Persekutuan Jerman, Persatuan Peguam Nepal dan Persatuan Peguam Sri Lanka.

Persatuan Peguam Korea, kata Leong, juga akan mengeluarkan kenyataan menyokong protes tersebut.

Protes berarak membantah Akta Hasutan 1948 itu akan bermula di tempat letak kereta Padang Merbok di ibunegara pada pukul 10.30 pagi esok dan dari situ, para peserta akan berjalan ke Parlimen.

Majlis Peguam mengumumkan bahawa ia akan menganjurkannya selepas badan peguam Malaysia meluluskan usul itu di mesyuarat agung luar biasa pada bulan lepas.

Leong berkata Badan Peguam percaya perbahasan, kepelbagaian pendapat dan kebebasan bersuara akhirnya akan mempromosi, memupuk keharmonian, keamanan yang berkekalan, perpaduan dan saling hormat menghormati di kalangan rakyat Malaysia.

Oleh itu, katanya, Peguam Malaysia menjemput wakil-wakil media untuk membuat liputan esok dan beliau berhasrat berucap di perhimpunan itu pada kira-kira pukul 12.30 tengahari, mungkin di luar Parlimen.

Tiada ulasan: