Rabu, 10 September 2014

Zalif Sidek: Bayaran memang kurang


Zalif Sidek Zalif Sidek
 
 
 
BERIKUTAN  keadaan ekonomi industri perfileman tempatan yang dilihat semakin merosot, banyak pihak terkesan dengan situasi itu terutamanya syarikat produksi tempatan.

Turut terkena tempias itu, produser syarikat Metrowelath (MIG) Sdn Bhd, Mejar K. David Teo akui terpaksa mengurangkan bayaran pelakon-pelakonnya bagi membolehkannya terus kekal mengeluarkan filem biarpun industri perfileman tempatan terus merundum.

Buat pelakon di bawah pengurusan MIG, Zalif Sidek bagaimanapun tidak terkejut malah bersedia menghadapi pelbagai kemungkinan itu.

"Sebenarnya sudah lama juga saya tidak terlibat dengan penggambaran filem dan paling terbaru adalah pada awal tahun.

"Kalau ikutkan memang bayaran untuk tawaran lakonan tidak sama seperti sebelum ini. Tapi pengurangan pembayaran itu tidaklah terlalu ketara," jelasnya kepada Sinar Harian, kelmarin.

Sebagai pelakon, Zalif akui turut merasa kesannya dan terpaksa mengambil inisiatif lain untuk masa depan yang terjamin.

“Saya rasa ini bukan sahaja melibatkan pelakon-pelakon MIG malah ia sebagai satu persediaan buat semua pelakon dan produksi tempatan untuk berhadapan dengan keadaan kemerosotan industri filem.

“Saya sendiri memang sudah mula rasa kesannya sebab sudah lama tidak tampil dengan produk filem. Saya sudah bersiap sedia untuk menerima apa kesannya dan perlu mencari inisiatif lain untuk menstabilkan ekonomi diri sendiri dengan menceburi bidang lain,” katanya yang kini sedang berjinak-jinak menceburi bidang perniagaan dalam sektor perladangan bersama keluarganya.

Walau bagaimanapun, itu tidak bererti dia akan meninggalkan kariernya sebagai pelakon malah akan terus menjalaninya sehingga diperlukan.

“Sebagai pelakon kita perlu sedia dan menerima apa sahaja dugaan dan cabaran ini sebab bayaran pun sudah semakin berkurangan dan pada masa yang sama tawaran lakonan juga akan berkurang.

“Jadi selepas ini usaha perlu berlipat kali ganda, cuba untuk dapatkan tawaran lakonan yang baik. Saya tidaklah harapkan untuk memegang watak yang besar, asalkan ia mampu beri impak kepada jalan cerita, ia sudah memadai,” ujarnya.

Di cop 'playboy'

“Saya bukan ‘playboy’ dan memang agak terkejut bila ada orang kata saya seperti itu sedangkan wanita-wanita yang dikaitkan dengan saya sebelum ini hanyalah kawan,” jelas pelakon Zalif Sidek mengenai spekulasi sesetengah pihak yang bersikap serkap jarang terhadap
dirinya.

Akui dirinya seorang yang mudah didekati, Zalif memberitahu sehingga hari ini dia masih belum menemui wanita yang benar-benar serius dengannya.

"Memang saya seorang yang mudah berkawan dan mungkin orang lain tidak pernah kenal mereka sebab itu timbul pelbagai spekulasi.

"Memandangkan usia pun sudah semakin meningkat, memang saya ada perancangan untuk berkahwin tapi setakat ini saya belum jumpa lagi wanita yang betul-betul serius dan beri kebahagiaan pada saya,” jelasnya kepada Sinar Harian, semalam.

Tiada ulasan: