Rabu, 17 September 2014

Tok Guru Nik Aziz genius politik?

Oleh RAYUSA




TIDAK ramai mengetahui bahawa Dato’ Betara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat atau Tok Guru Nik Aziz (TGNA) tidak pernah bergiat dalam sebarang persatuan politik atau bukan politik semasa menuntut di universiti, tetapi menjadi seorang ahli dan pemimpin politik yang berwibawa dan disegani setelah kembali ke tanah air pada Februari 1962.

Adakah TGNA genius sebagai ahli dan pemimpin politik bermula dengan menjadi Ahli Parlimen menerusi Pilihan Raya Kecil Kelantan Hilir pada 1967?

Dalam sesi bedah buku Tok Guru: Sebuah Biografi Awal (TGSBA) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), 4 September lalu, Prof Shaharir Mohd Zain dari Universiti Malaya turut menyentuh fakta yang disebutkan oleh pengarang TGSBA, Habibul Izzah Ahmad.

Buku terbitan Institut Pemikiran Tok Guru (IPTG/2014) itu merupakan biografi awal yang memaparkan perjalanan dan perjuangan TGNA sebelum terjun ke dunia politik tanah air.

TGNA mendapat pendidikan awal daripada ayahnya, Nik Mat Alim atau lebih dikenali sebagai Tok Ku Nik Mat sebelum menuntut di Pondok Tok Guru Haji Abbas, Besut, Terengganu.

Selepas itu, beliau belajar di Deoband (Darul Ulum), India ketika berusia 21 tahun dan kemudian memperoleh Ijazah Sarjana dalam Perundangan Islam dan Kehakiman dari Universiti al-Azhar, Kaherah, Mesir.

Pada 23 Oktober 1990, TGNA dilantik sebagai Menteri Besar Kelantan apabila Angkatan Perpaduan Ummah atau APU yang diketuai oleh PAS berjaya memenangi PRU8 (1990).

TGNA akhirnya bersara sebagai Menteri Besar Kelantan selepas PRU13 (2013) setelah 23 tahun berkhidmat sebagai ketua negeri.

Namun, beliau kekal sebagai Mursyidul Am dan pengerusi Majlis Syura Ulama PAS dalam usia 83 tahun.

TGSBA harus dimiliki oleh setiap lapisan masyarakat bagi mengenali lebih lanjut mengenai diri TGNA, terutama sewaktu beliau diberi didikan awal oleh ayahnya.

Mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan TGNA memang genius sebagai ahli dan pemimpin politik berwibawa. Kepimpinannya yang cemerlang sebagai Menteri Besar Kelantan selama lebih dua dekad menjadi bukti kukuh.

Tidak boleh dinafikan kelebihan yang dimiliki oleh TGNA itu banyak dibantu oleh pendidikan tidak formal daripada ayahnya semasa kanak-kanak.

Selain menyebut TGNA tidak aktif berpersatuan di universiti, pengarang TGSBA menceritakan perihal Nik Mat Alim mengejutkan TGNA dan adik-beradik pada jam 3 pagi, kemudian pergi ke kebun selepas solat subuh setiap hari.

Secara tidak langsung, amalan sihat dalam pendidikan tidak formal itu membentuk keperibadian TGNA sejak kecil hingga remaja dan dewasa.

Walaupun Presiden Seniman Paksi Rakyat (Paksi), Dinsman yang turut menjadi ahli panel berpendapat cara tersebut mungkin sesuai pada zaman itu dan tidak sesuai pada masa kini, hasil yang baik telah sama-sama kita lihat.

Bagaimanapun, Dinsman tidak menghalang jika ada ibu bapa yang mahu mencontohi kaedah Nik Mat Alim itu. Tentu sahaja cara yang baik sedemikian boleh atau wajar diteladani.

Cuma beliau mengatakan kebarangkalian sesuai atau tidak mengikut zaman.

Berkaitan dengan kaedah pendidikan tersebut, Dinsman menganggap langkah Habibul turut menulis tentang Nik Mat Alim sebagai paling istimewa seolah-olah mahu menekankan bahawa untuk mengenali tokoh tersebut perlu mengenali ayahnya terlebih dahulu.

Bagi Dinsman, TGSBA turut bernilai dari segi mendidik anak meskipun mungkin sesuai pada zaman TGNA dan adik-beradiknya kecil. Yang menarik ialah TGNA tidak pernah belajar di sekolah rendah dan menengah atau mendapat pendidikan formal serta mengambil peperiksaan penilaian, SRP, SPM dan STPM, sebaliknya terus belajar di India dan Mesir.

Hal tersebut turut menguatkan tanggapan bahawa TGNA memang genius kerana mampu terus menerima dan menyerap pendidikan formal peringkat tinggi tanpa menerima pendidikan sedemikian pada peringkat awal dan rendah.

Seperti yang diulas oleh Shaharir, kejayaan TGNA juga diperoleh hasil keberkatan kerana beliau seorang yang sangat menghargai ilmu. Buktinya, TGNA sangat suka membaca tanpa mengira di mana.

Dr Shaharir menyanjung sikap TGNA yang amat mencintai ilmu hingga sanggup mendapatkannya biar di mana pun guru yang diketahuinya berada. TGNA juga suka mengenang jasa guru yang mendidiknya, tidak seperti kebanyakan pelajar hari ini.

Menerusi buku ini, pembaca mengetahui rahsia TGNA mampu menghafal al-Quran dan teks ilmu lain. Menurut Dr Shaharir, TGNA begitu cepat menghafal kerana beliau menghafal surah pertama yang dibaca. Dipercayai, ad- Dukhan adalah surah yang paling penting. Jika ia dapat dihafal, surahsurah lain akan mudah dihafal.

Bedah buku tersebut dimudahcarakan oleh AJK Paksi, Mohd Nasser Mohamad. Seorang lagi ahli panel ialah penasihat editorial The Rocket edisi bahasa Malaysia, Mandarin dan Inggeris, serta kolumnis Harakah, Lim Hong Siang.

Turut hadir ialah Pengarah IPTG, Dr Che Samsudin Mohamed Noor; Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor, Mastura Muhamad, dan Habibul sendiri.

Tiada ulasan: