Isnin, 8 September 2014

Tak minta maaf salah lapor isu PPS, Pulau Pinang cadang saman NST

LGE_Gobind_PPS

 Roketkini.com


GEORGE TOWN,  Pulau Pinang akan memfailkan saman fitnah terhadap akhbar New Straits Times (NST) kerana masih tidak menarik semula laporan berhubung peruntukan negeri yang kononnya diluluskan untuk Pasukan Peronda Sukarela (PPS), kata Ketua Menteri Lim Guan Eng.

“Saya telah sekian lama bersabar, tetapi apabila kenyataan saya sendiri diputarbelit tanpa sebarang pembetulan dan permohonan maaf, saya tidak ada pilihan selain memfailkan prosiding undang-undang.

“Saman fitnah akan dibuat terhadap NST jika mereka tidak mahu menarik balik dan meminta maaf atas laporan palsu tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 4 September, Pengerusi Umno Pulau Pinang Datuk Zainal Abidin Osman dilapor sebagai berkata oleh laman web Umno bahawa secara keseluruhan kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM1.5 bilion untuk menubuhkan PPS.

Katanya, fakta yang salah berhubung peruntukan kepada PPS diulang semula dalam laporan NST pagi ini dengan tajuk ‘Guan Eng marah kerana hal kecil’ – membuktikan media pro-BN itu tidak beretika.

Justeru Guan Eng yang juga Adun Air Putih menegaskan sekali lagi bahawa jumlah yang dibelanjakan untuk PPS bukan RM1.5 bilion seperti didakwa Umno.
 “Jumlah yang dibelanjakan untuk PPS adalah RM1.3 juta (2012) dan RM1.5 juta untuk tahun 2013, bukan RM1.5 bilion.

“Peruntukan diberikan untuk 9,002 anggota PPS ini adalah di bawah kawalan kerana mereka berkhidmat secara sukarela tanpa gaji dan hanya dibekalkan pakaian serta ‘walkie talkie’,” tegasnya.

Justeru Guan Eng menegaskan, kerajaan negeri mengalu-alukan siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membuktikan dakwaan itu.

Beliau juga sekali lagi mempertahankan PPS sebagai unit sukarela yang sah bagi membantu polis memastikan keselamatan masyarakat.

“Kerajaan Negeri berhak untuk menubuhkan PPS, mengapa BN dan Ketua Polis Negara mempertikaikannya sedangkan sejak empat tahun lalu ia tidak pernah menjadi isu.

“Jika kamu tidak bersetuju, boleh bawa ke mahkamah, Kerajaan Negeri akan menghormati dan mematuhi keputusan yang dibuat mahkamah,” ujarnya. -Roketkini.com

Tiada ulasan: